Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata seiring dengan perubahan besar yang berlaku di dunia hari ini, terdapat pelbagai perkara yang melibatkan nilai-nilai yang sepatutnya dihormati seperti institusi perkahwinan yang mula terhakis, sambil memberi contoh perkahwinan sesama jantina.
"Semua yang dianggap berdosa kini diterima sebagai satu perkara yang betul untuk dilakukan.
"Kita dapati banyak orang Islam yang tertarik dengan budaya baru ini, yang tidak menghormati nilai-nilai yang kita pernah diajarkan untuk rasa hormat," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Kemuncak KL merupakan platform antarabangsa bagi dialog yang mengumpulkan pemimpin dan cendiakawan Islam untuk membincangkan dan mencapai penyelesaian mengenai masalah yang dihadapi oleh orang Islam di dunia hari ini dengan fahaman komprehensif.
Katanya, sebagai contoh institusi perkahwinan sudah tidak lagi dihormati apabila definisi sesebuah keluarga itu dipandang ringan.
"Ia (perkahwinan) bukan lagi mengenai seorang lelaki dan seorang wanita dan membesarkan anak-anak untuk mendirikan keluarga.
"Hari ini perkahwinan tidak dihormati. Mereka juga boleh berkahwin antara lelaki dan lelaki, wanita dan wanita dan tiada zuriat sendiri mengambil anak angkat daripada anak orang lain, dianggap sebagai sah dan menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
"Kita mesti belajar untuk kenal budaya kita sendiri dan memeliharanya kerana tidak ada budaya yang lebih rendah. Kita mesti tahu identiti kita sendiri dan berbangga dengannya," katanya.
Untuk rekod, Mahathir sebelum ini lantang bersuara berhubung isu LGBT dan mengkritik negara-negata barat yang seringkali dilihat memaksa negara lain menerima apa yang dilakukan mereka.
Dalam satu sesi soal jawab di Cambridge Union, United Kingdom pada 18 Jun lalu, Dr Mahathir berkata LGBT adalah satu perubahan daripada segi nilai moral barat dan mereka mahu memaksa gaya hidup itu pada negara-negara lain.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan