
Sebuah persatuan penduduk hari ini menafikan bahawa ia antara kumpulan yang meminta Ahli Parlimen Batu P Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua bertanding semula.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya, Nasir Baba, kenyataan oleh 14 badan bukan kerajaan (NGO) yang meminta Prabakaran meletak jawatan supaya memberi laluan kepada Tian Chua di kerusi parlimen tersebut adalah di luar pengetahuannya.
"Saya ingin menafikan dengan sekeras-kerasnya berita itu yang di luar pengetahuan saya.
"Saya tak mengenali Mohd Helmie Mohamad Arof wakil NGO parlimen Batu seperti mana yang ditularkan dalam media sosial media bertarikh 13 November," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya tidak mengusulkan kepada mana-mana pihak dan tidak pernah melantik Mohd Helmie sebagai juru cakap persatuan ini.
"Persatuan ini juga tidak terlibat dengan 14 NGO yang dimaksudkan itu. Saya amat kesal dengan penularan berita yersebut," katanya sambil menambah bahawa penularan berita palsu itu telah menjatuhkan reputasi, dan berniat buruk terhadap persatuan penduduk Taman Sentul Jaya.
Sementara itu, Persatuan PPR Beringin turut menolak bahawa mereka terlibat dalam persetujuan bersama 14 NGO yang lain itu.
Pengerusinya, Abdul Majid Januddin dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa persatuan itu tidak berpengetahuan berhubung desakan supaya Prabakaran meletak jawatan.
"Kami tidak tahu menahu kes ini dan kami percaya ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama persatuan kami.
"Kami berharap pihak yang terlibat boleh muncul diri dan jangan berdiri di belakang atas nama orang lain," katanya.
Portal Berita Harian semalam melaporkan sebanyak 14 NGO mencadangkan Prabakaran yang juga ahli PKR supaya meletak jawatan agar memberi peluang kepada bekas wakil rakyat kawasan itu , Tian Chua untuk bertanding semula di kerusi tersebut pada pilihan raya kecil.
Wakil Gabungan NGO Parlimen Batu, Mohd Helmie dipetik sebagai berkata adalah wajar hak dan peluang diberi kepada Tian Chua untuk kembali mewakili pengundi di Parlimen Batu.
Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 November lalu, yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam pilihan raya.
Tian Chua merupakan ahli parlimen Batu selama dua penggal sebelum Prabakaran menang kerusi tersebut pada PRK 14 susulan Tian Chua dinafikan hak bertanding.
Persatuan Penduduk Taman Sentul Jaya merupakan antara NGO disebut sebagai meminta Prabakaran mengosongkan kerusi itu.
Pada 6 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Tian Chua bebas dan layak untuk bertanding pada pilihan raya akan datang dan pelucutan kelayakannya sebagai calon pada PRU14 lalu adalah tidak sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan