Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa
pendiriannya mengenai remaja dan isu basikal lajak disalah faham sebagai
menggalakkan mereka supaya terus melakukan kegiatan berkenaan.
Kata
Syed Saddiq, beliau tidak pernah menyokong aktiviti basikal lajak yang
boleh mengancam keselamatan itu, sebaliknya hanya ingin membimbing
mereka.
"Saya rasa ada banyak salah faham, pertama kita perlu
bimbing bukan cepat hukum. Bimbing, bukan bermakna kita galakan mereka
untuk menunggang basikal lajak, tapi turun padang jumpa mereka dan ibu
bapa mereka.
"Juga berikan insentif supaya mereka dapat menyertai
institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bawah
Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Sebab
itu kita ada laluan khas, biar belia berisiko diletakkan dalam
institusi seperti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET),"
katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani penajaan FWD
Takaful Bhd (FWD Takaful) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala
Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain dan Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail.
Sebelum
ini, Syed Saddiq mengundang perhatian ramai apabila memuat naik
kenyataan bahawa KBS akan membimbing anak muda yang terbabit dengan
basikal lajak.
Tajaan sangat bermakna
Anggota
Parlimen Muar itu menegaskan langkah diambil kementeriannya dalam
menangani isu basikal lajak bertujuan membantu golongan remaja yang
terjebak dengan masalah itu.
"Saya dikutuk kerana mengambil pendirian untuk membimbing dan bukan menghukum.
"Dari terus menghina mereka, saya pilih untuk melatih mereka dengan pendidikan TVET.
"Segelintir daripada kita suka menghukum dan gagal untuk membimbing. Mereka perlukan bantuan kita semua.
"Mereka ini tanggungjawab kita bersama," katanya dalam kenyataan di Facebook pada 7 Nov lalu.
Sementara
itu mengulas isu penajaan FWD Takaful untuk atlet paralimpik negara,
Syed Saddiq berkata ia merupakan jumlah paling besar diterima KBS
setakat ini.
Syed Saddiq di majlis penyerahan tajaan FWD Takaful di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya
FWD Takaful mengeluarkan tajaan sebanyak RM5 juta sebagai sebahagian
dariipada persiapa atlet paralimpik negara menghadapi kejohanan dunia di
Tokyo tahun hadapan.
"Ia penajaan yang paling besar bagi atlet luar biasa kita, ia sebagai persiapan bagi menghadapi kejohan di Tokyo tahun depan.
"Ia sangat bermakna kerana mereka memilih untuk menaja atlet luar biasa kita," katanya.
Mengulas
mengenai kemerosotan prestasi atlet paralimpik Syed Saddiq berkata,
beliau yakin mereka akan kembali mencapai tahap prestasi terbaik sebelum
ini.
Katanya, atlet berkenaan mempunyai masa sembilan bulan untuk memperbaiki prestasi sebelum menghadapi temasya di Tokyo itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan