Bendera dikibar pada kenderaan secara bahaya akan dikena tindakan
Pengerusi SPR, Datuk Azhar
Azizan Harun
PONTIAN,– Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menetapkan bahawa semua parti
dan calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai
perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah.
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata, selain itu,
PDRM turut menetapkan bahawa program tinjauan mesra (walkabout) yang turut
dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang
jelas bagi tujuan pemantauan.
Katanya,
semua parti atau calon terbabit diingatkan supaya mematuhi setiap peraturan
yang ditetapkan bagi aktiviti berkempen, khususnya membabitkan permohonan permit
kempen.
“Semalam
telah diadakan perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR bersama dengan Ketua Polis
Daerah Pontian serta pegawainya. Tujuan perjumpaan adalah bagi menyelaraskan
dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen, terutama
berkaitan dengan program walkabout yang diadakan oleh semua calon atau parti
yang bertanding.
“Hasil
perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa pihak PDRM meminta supaya calon
dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan,”
katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas
Azhar lagi, bahan kempen yang berunsurkan hasutan dan provokasi, tidak
memaparkan nama dan alamat penerbit dan pencetak akan diturunkan.
Katanya,
bendera yang dikibar atau digantung di tepi jalan yang boleh mengganggu
penglihatan dan berbahaya kepada orang ramai juga akan diturunkan.
Dalam
kenyataan itu, Azhar berkata SPR dan polis turut menggariskan peraturan
mengenai penggunaan bendera parti serta berkempen menggunakan kenderaan.
Azhar
berkata, bendera yang dikibar atau digantung pada kenderaan berkempen secara
berbahaya kepada orang ramai juga akan diambil tindakan sewajarnya.
“Kenderaan
berkempen yang dipasang dengan bendera serta alat pembesar suara serta bergerak
dari satu lokasi ke satu lokasi hendaklah memohon permit berkempen daripada
polis.
“Kenderaan
berkenaan hendaklah menutup suara dan sebarang rakaman kempen semasa bergerak,
dan hanya membukanya apabila kenderaan berhenti di lokasi berkempen yang
bersesuaian serta tidak menghalang lalu lintas,” tambahnya.
Beliau
berkata, SPR juga akan melaporkan maklumat berkaitan statistik kesalahan serta
statistik bilangan laporan polis dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang dibuat sepanjang tempoh berkempen di Facebook,Twitter dan
laman web SPR setiap hari, sepanjang tempoh PRK itu.
“SPR
berharap semua calon dan parti akan berkempen dengan lebih matang sepanjang
tempoh berkempen yang berbaki lima hari lagi, serta mematuhi peraturan
berkempen agar PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden
yang tidak diingini,” katanya.
SPR
menetapkan Sabtu sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai. PRK itu menyaksikan
pertandingan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine
Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy
Subramaniam (Gerakan), dan Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan
Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas ialah Dr Ang Chuan Lock dan
Faridah Aryani Abd Ghaffar.
PRK
itu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42,
pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Pada
PRU14, Allahyarham Md Farid yang mewakili PH menang dengan majoriti 524 undi
menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan