Terdapat 27 kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB)
masih tertangguh di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur
dan Shah Alam, kata Peguam Negara Tommy Thomas.
Thomas berkata sejak Julai 2018, pertuduhan jenayah telah dilakukan terhadap banyak individu berprofil tinggi dalam apa yang dikenali sebagai “kes kleptokrasi’.
“Kebanyakannya berkaitan dengan skandal 1MDB, tetapi terdapat juga kes lain,” katanya.
Thomas berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah membentuk banyak pasukan diketuai timbalan pendakwa raya (TPR) yang paling kanan dan berpengalaman untuk mengendalikan setiap daripada kes berkenaan.
Ini, katanya telah memberikan tekanan serius terhadap sumber dan tenaga kerja AGC.
Thomas berkata TPR yang ditugaskan untuk menjalankan pendakwaan dalam 27 kes itu bukan sahaja mengendalikan kes berprofil tinggi berkenaan tetapi juga terus mengendalikan kes jenayan lain di unit masing-masing.
“Jarang dalam sejarah negara yang TPR perlu melakukan begitu banyak kerja seperti sekarang.
“Oleh itu, kami memohon budi bicara mahkamah-mahkamah untuk memahami kesulitan kami dan memberikan sedikit ruang dan kelonggaran dalam mengendalikan 27 perbicaraan ini. Perkara ini membabitkan kes yang melibatkan tertuduh yang sama atau peguam bela yang sama, biasanya apabila tarikh perbicaraan kes berkenaan saling bertindih satu sama lain,” katanya.
Thomas berkata pendekatan saling bertolak ansur perlu dilaksanakan supaya tidak berlaku prejudis atau ketidakadilan bagi mana-mana pihak.
Mahkamah perlu memastikan pihak pendakwaan tidak secara sewenang-wenangnya memohon penangguhan, katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan