HALAMAN SANTAI

Isnin, 20 Januari 2020

Kembalikan duit pembeli rumah terbengkalai sejak 2018, kata exco Selangor

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor Haniza Talha 
berkata, satu pertemuan akan diadakan selepas Tahun Baru Cina 
bagi menyelsaikan masalah melibatkan pembeli rumah terbengkalai 
Residensi jaya.
 
PETALING JAYA: Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor Haniza Talha berkata, kembalikan duit pinjaman atau bayaran pembeli projek perumahan terbengkalai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri adalah antara cadangan penyelesaian yang ditawarkan.

Haniza berkata, satu pertemuan akan diadakan dengan wakil pembeli projek perumahan Residensi Jaya, Helmi Hamid selepas Tahun Baru Cina bagi mencari penyelesaian.

“Perjumpaan itu untuk memberitahu proses nak kembalikan bayaran pembeli dan pinjaman yang mereka buat.

“Itu antara cadangan menyelesaikan masalah ini untuk pembeli sebab syarikat pemaju syarikat sudah digulung (bankrap),” katanya kepada FMT.

Semalam, FMT melaporkan lebih 50 pembeli sebuah projek perumahan terbengkalai yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Selangor mendesak kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Wakil pembeli projek perumahan Residensi Jaya di Seri Kembangan, Helmi Hamid, 38 berkata, beliau terkilan apabila harapan untuk memiliki rumah pertama musnah kerana projek yang diharapkan siap pada 2021 masih tidak berjalan.

Residensi Jaya mempunyai 2 blok, Jenis C bernilai RM210,000 dan D (RM250,000). Setiap blok adalah setinggi 11 tingkat dan mempunyai 394 unit apartment dan 9 unit kedai.

Pada 25 Okt tahun lalu, pemaju yang seharusnya bertanggungjawab menyiapkan rumah berkenaan diisytiharkan bankrap.

Dalam pada itu, Haniza berkata, kerajaan negeri juga sudah mengadakan perbincangan dengan wakil pembeli sebelum ini bagi mencari penyelesaian.

“Dalam mesyuarat itu kita menerangkan kepada wakil pembeli rumah. Saya jelaskan sementara menunggu pertemuan selepas Tahun Baru Cina nanti,” katanya.

Haniza juga berkata, penerima (receiver) yang mengambil alih aset syarikat pemaju yang sudah digulung itu akan menyelesaikan semua isu berbangkit.

Beliau berkata, kerajaan Selangor melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pejabatnya sedang membantu pembeli mendapatkan hak mereka.

“Pembeli keliru dalam hal ini. LPHS memberi kelulusan kepada pemaju untuk menjalankan pembangunan dan mensyaratkan pembinaan perumahan Selangorku (RSKU).

“Selepas pemaju mendapat kelulusan, maka projek pembangunan dimulakan. Pada 14 Jan lalu, satu mesyuarat diadakan melibatkan LPHS, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) MPKJ (Majlis Perbandaran kajang), ‘receiver’, pejabat exco dan 3 wakil pembeli yang diketuai Helmi.

“‘Receiver’ mohon untuk mengadakan perjumpaan selepas Tahun Baru Cina. Pembeli berkeras mahu ia diadakan sebelum itu. Oleh sebab tidak dapat berjumpa pada 19 Jan lalu, mereka adakan perjumpaan dengan media dan membuat tuduhan yang salah,” katanya.

Tiada ulasan: