Anggota Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan dilaporkan dihalang memasuki Sarawak buat kali kedua.
Menurut Borneo Post, Jeffrey memohon pas khas untuk memasuki Sarawak untuk menghadiri dua mesyuarat, tetapi permohonan itu ditolak.
Beliau sepatutnya mempengerusikan mesyuarat Pertubuhan Antarabangsa Dayak petang semalam, dan kemudian bercakap di forum yang dianjurkan oleh Gerakan Perubahan Sarawak pada hari ini, kata laporan itu.
"Saya harap kerajaan Sarawak akan menimbang semula dan membenarkan saya, pemimpin Malaysia yang dipilih dan rakan Dayak, ke negeri ini untuk aktiviti yang sah," katanya dipetik sebagai berkata.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dilaporkan berkata beliau tidak tahu bahawa Jeffrey dilarnag memasuki negeri itu buat kali kedua.
"Saya tidak sedar tentang perkara ini. Saya akan semak mengenainya," kata Abang Johari seperti dilapor portal Free Malaysia Today, ketika ditemui selepas sambutan tahun baru dan ulang tahun penubuhan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) ke-65 malam tadi.
Sebelum ini, dilaporkan Jeffrey dihalang memasuki negeri itu setelah tiba di Lapangan Terbang Kuching pada Mac 2017, disebabkan larangan yang telah berkuatkuasa sebulan sebelumnya.
Di bawah Perjanjian Malaysia 1969, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa imigresen ke atas sempadan masing-masing, dan boleh menghalang masuk sesiapa yang tidak dilahirkan di kedua-dua negeri berkenaan.
Jika disenaraihitamkan, seseorang itu masih boleh memasuki negeri berkenaan sekiranya larangan itu dibatalkan atau jika pas khas sementara dikeluarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan