HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Januari 2020

PSS cadangan RCI semasa zaman BN

THE MALAYSIAN TIMES
 


KIMANIS: Pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) merupakan cadangan yang diambil kerajaan negeri daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PTI) bagi mengatasi masalah lambakan pendatang asing di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata RCI yang ditubuhkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu telah mengemukakan beberapa cadangan dalam mencari penyelesaian kepada masalah tersebut dan ia diluluskan di Parlimen ketika itu.

Justeru, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata dakwaan dan kritikan pihak tertentu bahawa menyokong Warisan adalah sama seperti menyokong PSS adalah tidak berasas.

“Ada orang cakap kalau sokong Warisan sokong PSS. Saya nak beritahu saya akan bawa (buktikan) dokumen (cadangan RCI) itu. (Cadangan) RCI yang diluluskan di Parlimen dan pengerusinya adalah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Apa cadangan RCI itu? Keputusan dibuat oleh RCI supaya kita perlu gabungkan (dokumen dikeluarkan kepada warga asing). Itu cadangan mereka dan kita kena laksanakan kerana ini royal commission. Bukan saya cakap bohong,” katanya ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di kawasan Sinuka di sini, Rabu malam.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Muhyiddin berkata pengeluaran PSS, antara lain diharapkan dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.—Bernama 

Tiada ulasan: