HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Januari 2020

Rampasan dadah RM2.4 bilion di Pulau Pinang kejayaan besar warga PDRM, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Kejayaan besar polis dalam mematahkan cubaan penyeludupan dan pengedaran dadah di Pulau Pinang baru-baru ini dengan nilai rampasan terbesar RM2.4 bilion, jelas membuktikan keseriusan kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata kegiatan pengedaran dadah kerap berlaku di utara Malaysia yang dikenali sebagai kawasan Segi Tiga Emas.

“Penguat kuasa kita berjaya menemukan penyeludupan dadah terbesar di Pulau Pinang dengan jumlah rampasan lebih 10 tan, ia suatu kejayaan yang besar,” katanya.

Pada 10 Sept lalu, polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth.

Sindiket membawa dadah dalam 60 guni arang batu daripada Amerika Selatan itu berjaya ditumpaskan menerusi Op Eagle yang dijalankan di sekitar Butterworth dan Bayan Baru di Pulau Pinang serta Padang Serai, Kedah.

Menurut Muhyiddin, menjadi suatu kejayaan membanggakan apabila dapat mengheret mereka yang terlibat dengan najis dadah ke muka pengadilan.

“Apa yang membimbangkan adalah trend dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun hingga 13 tahun terlibat dengan penyalahgunaan dadah, kalau setakat ambil dadah itu satu hal tetapi kadang-kadang pengedaran dadah dan sebagainya.

“Malaysia ini macam tempat transit pengedaran dadah, ini tidak baik bagi kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang untuk tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap penagih dadah sebaliknya mereka terus dihantar ke pusat pemulihan untuk mendapatkan rawatan pemulihan.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Muhyiddin berkata cadangan itu merupakan satu perkara yang baru yang akan dikemukakan.

Pada 24 Jun lalu, Bernama melaporkan penagih dadah di negara ini kini tidak lagi dilihat sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum sebaliknya sebagai pesakit yang memerlukan rawatan dan pemulihan.

Takrifan itu dicapai susulan perbincangan antara KDN dan Kementerian Kesihatan yang bersetuju untuk melaksanakan “decriminalization” atau bukan pesalah jenayah terhadap penagih dadah.

“Untuk perkara itu, kita perlu membantu banyak pusat-pusat pemulihan yang ditaja oleh swasta dan kemukakan kepada kerajaan supaya peranan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu lebih ditekankan supaya ia dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Selain itu, KDN memandang berat mengenai isu dadah dan AADK mengambil tindakan agak berkesan, tetapi masih belum dapat mengatasi keadaan perlakuan salah guna dadah yang sangat membimbangkan,” katanya.

Tiada ulasan: