HARAKAH DAILY
PAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) kerana mengumumkan penangguhan pemansuhan
Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal yang melibatkan 33 skim
perkhidmatan semalam. PAS amat berharap agar keputusan tersebut
konsisten, terus dikekalkan malah dikaji untuk penambahbaikan.
Setelah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 – Pengukuhan
Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam diumumkan, ia
ditolak dalam kalangan rakyat. Malah, ramai yang melahirkan rasa simpati
khususnya kepada penjawat awam yang berkhidmat dalam sektor kesihatan
di negara ini. Mereka berada dalam kondisi ‘underfunded’, ‘understaffed’, ‘underpaid’ dan ‘overworked’.
PAS juga ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan agar menaikkan kadar elaun ‘on call’ dalam kalangan doktor khususnya MO. Sebahagian mereka bekerja lebih 24 jam atau ‘Every Other Day’
(EOD) demi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Namun,
pihak kerajaan mesti mempeduli kebajikan para doktor. Selain penambahan
kakitangan, elaun ‘on call’ juga harus dinaikkan pada satu kadar yang munasabah.
PAS mahu pihak Kerajaan membentangkan situasi sebenar nisbah doktor dan
pesakit mengikut negeri. Berdasarkan maklumat yang diterima, jumlah
doktor di Sabah dan Sarawak sangat berkurangan berbanding jumlah
pesakit. Sementara itu, Kerajaan perlu mengambil inisiatif segera
menyelesaikan isu Pegawai Hospital (HO) yang masih lagi berstatus dan
bergaji kontrak walaupun telah setahun menjadi Pegawai Perubatan (MO).
PAS berharap agar isu penting terutama melibatkan sektor
sosial dan keselamatan negara perlu diberikan perhatian serius oleh
pihak Kerajaan.
Sekian, terima kasih.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)
– HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:
Catat Ulasan