HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Mac 2020

Covid-19: Jururawat kembali dari pencen curahkan bakti

 
Malaysiakini
 
 
Kematian boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira sesiapa pun apabila sampai waktunya.

Begitulah maklum balas seorang bekas ketua jururawat ketika ditanya mengenai keputusannya untuk kembali bertugas menjadi sukarelawan melawan wabak Covid-19 di Malaysia.

“Kalau saya duduk sahaja di rumah, saya tetap akan mati bila tiba masanya.

“Inilah perkara yang anda boleh lakukan walaupun ia sekecil-kecil bantuan.

“Derma bukan hanya bermakna menyumbangkan wang atau makanan tetapi sebagai manusia, apa saja yang anda boleh buat. Dan bagi saya, inilah apa yang saya dapat sumbangkan,” kata Biby Maideen, 68, kepada Malaysiakini.

Biby yang kini mengalami masalah hipertensi dan mempunyai risiko ekoran masalah kesihatannya itu berkata, dia telah pun berbincang dengan empat anaknya sebelum menghantar permohonan menjadi sukarelawan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memohon doktor dan jururawat bersara kembali berkhidmat.

Anak-anaknya menyokong penuh keputusannya itu.

Selain itu, Biby berkata, dia mendapat pendidikan sebagai jururawat di United Kingdom (UK) dan kemudian berkhidmat sebagai jururawat selepas menamatkan diplomanya pada 1974.
Biby (tiga dari kiri) ketika di Southend,1970an.
Biby kemudian bekerja di UK selama kira-kira tiga tahun sebelum kembali ke Malaysia dan menyertai institusi kesihatan swasta selama lebih dari empat tahun.

Menceritakan pengalamannya, Biby memberitahu pada awal 1980-an, dia menyertai perkhidmatan kesihatan awam dan berkhidmat sebagai jururawat komuniti selama 15 tahun sebelum kembali ke sektor swasta.

Katanya, dia turut menghadiri kursus pasca latihan asas jururawat dan mempunyai kemahiran khusus melibatkan kemalangan dan kecemasan.

“Bila umur saya 52 tahun, saya kembali ke UK dan bekerja di sana selama 14 tahun. Kebanyakannya sebagai jururawat di rumah penjagaan orang tua.

“Saya bekerja di sana sehingga saya bersara tiga tahun lalu atas permintaan anak-anak saya yang meminta saya berehat.
“Ketika di UK, saya banyak belajar dan dapat pengalaman tentang pengurusan penyakit berjangkit dan penjagaan paliatif.

"Di sana mereka mempunyai Norovirus dan winter virus iaitu virus yang hanya ada setiap musim sejuk.

“Jadi kami perlu membuat persiapan termasuk menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE),” katanya.

Petugas barisan depan boleh fokus

Ketika ditanya tentang seruan KKM agar semua doktor dan jururawat yang telah bersara kembali berkhidmat, Biby berkata ia tindakan terpuji sambil menambah pihak yang berada di barisan hadapan merawat pandemik itu boleh menggunakan khidmat golongan pesara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang akhbar semalam bahawa mereka mensasarkan untuk mencapai 2,000 tenaga kerja mahir untuk membantu secepat mungkin.

"Kami sedang dalam proses untuk meningkatkan sumber manusia, termasuk jururawat dan doktor.

"Apa yang penting sekarang, kami mahukan mereka yang sudah mempunyai pengalaman seperti jururawat dan pakar yang telah bersara. Mereka boleh membantu kami," katanya.

Sementara itu, Biby berkata, walaupun ramai pesara yang kembali berkhidmat mungkin tidak dapat bekerja secara langsung di barisan hadapan disebabkan faktor usia, namun mereka boleh mengambil alih tugas yang lebih ringan agar jururawat sedia ada dapat memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjaga pesakit.

Tiada ulasan: