HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2020

Pelanggan Makcik Kiah juga perlu dibantu

ULASAN | Adakah pakej rangsangan prihatin ekonomi yang diumumkan Jumaat lalu dapat menolong Makcik Kiah? Pakej ini cukup 'prihatin’ jika negara menghadapi krisis kecil, tetapi ia tidak mencukupi untuk mengharungi krisis yang terburuk dalam sejarah yang melanda hampir semua negara.

Bahasa mudahnya begini - matlamat utama suatu pakej rangsangan adalah untuk memastikan golongan yang terkesan seperti Makcik Kiah mempunyai pendapatan sepanjang tempoh kawalan, dan seterusnya memastikan Makcik Kiah masih ada pelanggan selepas tempoh kawalan selesai.

Untuk memastikan beliau masih ada pelanggan, pekerja mesti ada pendapatan untuk berbelanja di kedai beliau. Maka apa yang perlu dibuat? Pekerjaan juga harus dipertahankan kerana tanpa pekerjaan, bagaimana mereka hendak berbelanja? Di sini strategi pakej rangsangan ekonomi seakan lemah.

Harus diingat bahawa ekonomi negara berkembang apabila rakyat berbelanja, malah ia antara pacuan utama ekonomi kita, selain daripada pelaburan sektor swasta. Jika rakyat tak berbelanja, ekonomi akan merudum.

Ini bukanlah artikel cercaan atau mengkritik semberono, ini adalah artikel cadangan dan penambahbaikan. Tidak dinafikan beberapa inisiatif yang diumumkan banyak yang baik, tetapi ia harus fokus untuk membantu mereka yang hilang pekerjaan dan peniaga seperti Makcik Kiah serta pelanggan beliau.

Ada yang berkata pakej rangsangan ini lebih mirip seperti belanjawan menghadapi pilihan raya. Kita memerlukan pakej yang lebih substantif. Ada juga yang berkata kita harus bersyukur dengan apa yang kerajaan berikan, namun kerajaan wajib membantu rakyat sebaik mungkin, itu tanggungjawab terhadap rakyat. Bantuan yang lebih besar boleh diberikan. Makcik Kiah boleh dibantu dengan lebih baik lagi.

Maka sepatutnya keutamaan kerajaan bukan hanya membantu mereka seperti Makcik Kiah, tetapi juga untuk menjamin supaya pelanggan makcik Kiah, yang secara statistiknya pekerja dalam syarikat mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus bertahan dan tidak dibuang kerja. Bantuan kepada PKS sepatutnya juga fokus utama kita, agar PKS yang menjana hampir tujuh daripada sepuluh pekerja di Malaysia dapat bernafas. Mereka ini pembeli, jika mereka tiada pendapatan, Makcik Kiah pun akan tutup kedai.

Jika PKS gagal, ramai menganggur, dan tiada siapa akan beli pisang goreng Makcik Kiah. Bantuan subsidi upah RM600 setiap pekerja selama tiga bulan untuk membantu PKS tidak membuang pekerja amatlah kecil. Ia tidak akan membantu PKS. Ramai akan hilang pekerjaan.
Bantuan yang lebih harus diberikan. Jika dilihat pada pecahan suntikan fiskal, kerajaan Malaysia berbelanja RM6 bilion untuk subsidi gaji daripada jumlah RM22 bilion yang diperuntukkan, atau hanya sekitar 27 peratus.

Ini adalah jauh lebih rendah daripada negara lain seperti New Zealand (42 peratus), Korea Selatan (35 peratus), dan Kanada (35 peratus). Jiran kita, Singapura memperuntukkan subsidi gaji sebanyak 81 pertus daripada keseluruhan suntikan fiskal mereka, ataupun empat kali ganda lebih tinggi daripada Malaysia. Mereka sedar jika PKS gagal, keadaan akan jadi lebih teruk.

Strategi kerajaan untuk PKS lebih mengutamakan aspek jaminan dan moratorium pinjaman. Tiada PKS yang akan mengambil pinjaman jika tiada jaminan ada pendapatan di masa yang terdekat. Dengan apa mereka akan membayar balik duit pinjaman itu?

Bantuan suntikan fiskal umpama memberi ‘plaster’ untuk sakit yang tenat. Sakit tak hilang, duit pun habis.




Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamad berkata pakej ekonomi adalah antara yang terbesar di dunia dan lebih tinggi dari Singapura dan England. Ini tidak tepat. Jika dibandingkan jumlah suntikan fiskal sebenar (RM22 bilion) dengan saiz ekonomi, ia jauh lebih rendah daripada negara yang disebut oleh pak menteri.

Peratusan sebenar suntikan fiskal kita hanyalah sebanyak 1.4 peratus daripada saiz ekonomi, bukan 17 peratus seperti yang diuar-uarkan. Singapura menyuntik lebihi dua kali ganda daripada Malaysia, pada kadar 3.4 peratus, England dan Belanda pula pada kadar 2 peratus.

Dari segi bantuan tunai, semua orang mendapat sesuatu, dan tidak disasarkan hanya kepada mereka yang terjejas, terutamanya pekerja sendiri, tetapi diberikan kepada semua golongan B40 atau M40.

Jika bantuan disasarkan, mereka yang terjejas seperti nelayan, pekebun kecil, pengusaha chalet, penarik beca, peniaga pasar malam, atau pasar tamu akan mendapat bantuan yang lebih tinggi, dan tidak hanya RM1,600 kepada setiap ketua keluarga golongan B40 (bukan semua ahli keluarga akan dapat RM1,600), dan RM,1000 kepada keluarga golongan M40.

Malah bantuan yang diberikan kepada golongan B40 dan M40 ini sebaiknya mengambil kira jumlah isi rumah. Jika tidak, keluarga Makcik Kiah anak satu mendapat bantuan prihatin yang sama dengan keluarga Makcik Limah anak empat.

Bantuan yang diberikan adalah sekali sahaja (one-off), sehingga bulan Mei, jauh sekali dengan jangkaan bahawa krisis ini akan berlarutan. Apa akan jadi kepada golongan susah dan peniaga seperti Makcik Kiah selepas bulan Mei?

Kerajaan sebenarnya mampu berbelanja lebih daripada apa yang diumumkan. Fokus adalah kepada mereka yang susah, terutama yang hilang pekerjaan, bekerja sendiri, dan juga majikan (khususnya PKS). Cadangan haruslah lebih lestari (sustainable) dan memberi lebih faedah kepada golongan sasar di kalangan B40 dan M40.
Berikut adalah beberapa cadangan penambahbaikan:
  • Kepada yang bekerja dan mereka yang hilang mata pencarian seperti nelayan, jurujual, penjaja, dan pekerja sektor pelancongan, bantuan tunai sebanyak RM1,000 setiap bulan diberikan selama enam bulan. Ini lebih tinggi daripada bantuan RM1,600 dan RM1,000 one-off untuk hanya ketua isi keluarga B40 dan M40. 
Bantuan ini akan memastikan sekurang-kurangnya ada bantuan tunai untuk kelangsungan hidup.
  • Bagi menolong majikan PKS mengurangkan kos operasi, dan untuk tidak membuang pekerja, subsidi gaji yang lebih tinggi boleh diberikan.
Setiap majikan yang mempunyai pekerja yang bergaji kurang dari RM5,000 sebulan, akan diberi bantuan tunai sekurang-kurangnya RM1,000 bagi setiap pekerja setiap bulan selama enam bulan. Ini bersamaan dengan hampir 50 peratus gaji penengah rakyat Malaysia.
  • Kita perlukan penekanan yang lebih strategik untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan rantaian bekalan makanan dapat dipulihkan. Kalau barang makanan pun tiada, dengan apa makcik kiah mahu meniaga?
Peruntukan RM1 bilion untuk bekalan makanan sebenarnya adalah yang diumumkan oleh Dr Mahathir Mohamad bulan lepas. Kita perlu memberi lebih penekanan memandangkan keadaan semakin buruk, dan negara-negara mula mengharamkan eksport makanan (contohnya Vietnam melarang eksport beras berkuatkusa empat hari lalu).

Jika harga barang makanan naik, yang terkesan dahulu adalah golongan B40. Ini harus dielakkan.

Tidak dapat dinafikan bahawa ia akan menaikkan defisit fiskal ke paras sedikit tinggi berbanding ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada tahun 2009, lebih kurang 8 peratus. Negara pernah mengalami defisit hampir 16 peratus, usahlah risau jika defisit naik.

Untuk perbandingan, Singapura berbelanja lebih besar dan menggunakan ‘reserve’ mereka untuk membantu rakyat, dan kadar defisit fiskal mereka naik hampir 8 peratus tahun ini, berbanding lebihan (surplus) dua tahun lepas.

Janganlah taksub sangat untuk memastikan defisit fiskal rendah, dan terlalu akur dengan agensi penarafan antarabangsa. Kita tak harus kedekut untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

Ada teknokrat menyorak gembira apabila defisit fiskal masih di bawah paras lima peratus. Amat menyedihkan apabila defisit lagi penting daripada memastikan rakyat terutama golongan B40 sihat dan ada makan dan minum, dan peniaga boleh bernafas dan pekerja tidak menganggur.

Tanpa pembeli dan pengguna, ekonomi tidak akan berkembang. Tiada guna defisit kecil tetapi ramai rakyat kita menjadi penganggur.

Diharapkan pakej ini dapat diperhalusi lagi sejajar dengan konsep kerajaan yang prihatin.


MUHAMMED ABDUL KHALID merupakan pakar ekonomi dan penulis buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.

Tiada ulasan: