Harap kerajaan negeri, wakil rakyat ikut tindakan Kabinet
BANGI – Tindakan Kabinet melaksanakan pemotongan dua bulan gaji Perdana
Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan kepada Tabung COVID-19
disifatkan sebagai langkah tepat, tatkala pendapatan rakyat terjejas teruk
akibat krisis wabak itu.
Memuji
langkah bertanggungjawab kerajaan baharu, Presiden gerakan Islam, Ikatan
Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap tindakan ini menjadi
contoh ikutan kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat termasuklah pembangkang.
“Insya-Allah,
usaha murni sebegini akan menjadi contoh ikutan pula kepada rakyat selain
mengembalikan kepercayaan mereka kepada pemimpin-pemimpin negara.
“Mungkin
usaha ini dapat mengurangkan ‘politicking’ oleh para ahli politik terutamanya
dalam menghadapi krisis wabak COVID-19 ini.
“Saya
harap usaha ini menjadikan para ahli politik lebih tawaduk dan bekerja
bersungguh-sungguh untuk rakyat serta merasai perit jerih rakyat marhaen.
“Semoga
krisis ini berakhir dengan cepat dan dengan natijah yang baik, Insya-Allah,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu,
Kabinet memutuskan agar dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan
Menteri dipotong dan disalurkan kepada Tabung COVID-19.
Pejabat
Perdana Menteri berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet
semalam.
Katanya,
langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu mereka yang
menerima kesan akibat penularan wabak COVID-19.
Tabung
COVID-19 dilancarkan pada 11 Mac lalu sebagai usaha kerajaan membantu rakyat
yang terjejas ekoran wabak itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan