PETALING JAYA: Wang hilang tidak akan dilaporkan kepada polis sekiranya benar duit itu haram, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab spekulasi sekitar kejadian itu, susulan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menegaskan wang tersebut miliknya dan ibu bapa, Syed Saddiq menjelaskan sebahagian besar wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah milik mereka bersama.
“Selainnya untuk tujuan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, dan menambah jumlah wang yang hilang dalam kejadian itu adalah RM90,000 miliknya, RM50,000 milik ibunya, dan RM70,000 milik bapanya.
“Mereka juga telah membuat laporan polis,” tambahnya.
“Saya akan berikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan,” katanya.
Berkenaan spekulasi sekitar wang itu, pemimpin PPBM itu juga sudah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis dan bertindak terhadap cubaan mengaitkan kejadian itu dengan “duit haram” atau “wanita yang dikatakan bersama saya”.
“Ini fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya dan keluarga,” katanya.
Semalam, Syed Saddiq mengesahkan laporan polis dibuat berhubung satu kecurian di rumahnya, dan menafikan ia wang PPBM.
SPRM hari ini memaklumkan ia menerima dan sedang menyiasat aduan berhubung pemilikan wang tunai “meragukan” dipercayai milik seorang bekas menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan