MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Selasa, 24 Mac 2020
Bagi 2.8 juta pencarum, akaun 2 KWSP tak cukup bertahan 12 bulan
MALAYSIAKINI
Kira-kira
2.8 juta rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi dalam akaun
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka untuk benar-benar mendapat
manfaat daripada langkah kerajaan untuk meringankan beban kewangan di
saat krisis Covid-19 melanda negara.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pencarum KWSP boleh mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 2 mereka untuk mengurangkan beban kewangan berikutan perintah kawalan pergerakan.
Beliau
berkata pencarum boleh mengeluarkan simpanan sehingga RM500 sebulan
bagi 12 bulan seterusnya bermula April. Ia menjadikan jumlah keseluruhan
yang boleh dikeluarkan sebanyak RM6,000 setahun.
Menurut peraturan KWSP, 70 peratus caruman masuk ke Akaun 1 manakala 30 peratus lagi ke dalam Akaun 2.
Ia bermakna pencarum perlu menyumbang RM20,000 kepada KWSP untuk mempunyai sekurang-kurangnya RM6,000 dalam Akaun 2.
Bagaimanapun,
menurut laporan tahunan KWSP 2018, terdapat 2,799,342 rakyat Malaysia
mempunyai simpanan kurang daripada RM20,000 dalam akaun KWSP mereka.
Sebahagian besar daripada mereka, iaitu 1,891,422 pencarum, mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM10,000.
Ini bermakna mereka tidak mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi dalam Akaun 2 untuk bertahan lebih daripada enam bulan.
Walaupun jika mereka mengeluarkan simpanan KWSP untuk menghadapi krisis Covid-19, ia akan menjejaskan simpanan persaraan mereka.
Kaedah
simpanan yang disyorkan KWSP adalah sebanyak RM35,000 pada umur 30
tahun, RM86,000 pada umur 40 tahun dan RM240,000 pada umur 55 tahun.
Ia dianggap sebagai anggaran simpanan minimum yang diperlukan pencarum bagi persaraan mereka.
Walaupun
amaun dari usia 30 hingga 55 tahun mungkin kelihatan seperti
peningkatan drastik, jumlah itu dicapai dengan bantuan kadar dividen
tahunan.
Misalnya, dengan kadar dividen tahunan 5.45 peratus
(kadar dividen KWSP untuk 2019), RM6,000 akan menjadi lebih daripada
RM22,000 dalam tempoh 25 tahun.
Bagaimanapun, jika pencarum yang
berusia 30 tahun ingin mengeluarkan RM6,000 pada masa ini, dia akan
kekurangan RM22,000 apabila mencapai umur persaraan.
Adam Manaf Mohamed Firouz dari khazanah Research Institute juga telah menyuarakan kebimbangan bahawa langkah ini tidak memadai.
Katanya,
daripada jumlah yang dinyatakan, golongan yang paling terkesan adalah
yang paling kurang menikmati faedah daripada langkah itu.
"Jika
kita mengambil RM6,000 sebagai ambang minimum dalam Akaun 2, maka hampir
40 peratus ahli KWSP yang aktif tidak akan dapat memanfaatkan
sepenuhnya skim ini,” katanya dalam satu artikel.
Malah, katanya lagi, golongan 10 peratus berpendapatan paling rendah mempunyai nilai purata RM319 dalam Akaun 2.
Beliau juga menyuarakan kebimbangannya mengenai bagaimana ia akan menjejaskan persaraan pencarum pada masa akan datang.
"Prospek yang membimbangkan bukan hanya dalam jangka pendek dengan krisis semasa, tetapi juga untuk jangka masa panjang.
“Jika
pekerja memilih untuk mengeluarkan dan menggunakan wang simpanan KWSP
mereka sekarang, kemungkinan mereka hanya akan ada sedikit simpanan
apabila bersara nanti,” katanya.
Di akhir artikel tersebut, Adam berkata lebih banyak langkah diperlukan untuk membantu golongan yang paling mudah terjejas.
"Yang
paling terjejas ialah orang yang paling memerlukan bantuan dan mereka
yang perlu bergantung kepada kerajaan sewaktu krisis ini.
Katanya,
amat penting untuk memastikan semua program dan skim dirangka secara
inklusif bagi memastikan semua golongan dilindungi.
Aktiviti ekonomi di negara ini hampir tergendala sepenuhnya berikutan penguatkuasaan perintah kawalan gerakan sejak 18 Mac.
Di
bawah perintah itu, perniagaan dan perkhidmatan dalam kategori tidak
penting atau tidak kritikal diarahkan tutup buat sementara waktu.
Orang ramai juga tidak digalakkan untuk meninggalkan rumah mereka kecuali atas sebab yang mendesak.
Perintah kawalan pergerakan ini dijangka berakhir pada 31 Mac tetapi Muhyiddin sebelum ini tidak menolak ia akan dilanjutkan.
Semalam, beliau berkata Majlis Keselamatan Negara bakal bersidang sebelum 30 Mac ini bagi menentukan sama ada perintah itu akan disambung.
Setakat ini, Malaysia mencatatkan 1,518 kes positif Covid, dengan 15 kematian.
Seramai 159 disahkan pulih sepenuhnya, manakala 57 orang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan