HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2020

47 petugas kesihatan positif lepas ke majlis kahwin dihadiri peserta tabligh

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Seramai 47 daripada 73 petugas kesihatan yang diuji positif Covid-19 dijangkiti virus itu selepas menghadiri majlis perkahwinan yang turut dihadiri peserta perhimpunan tabligh.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata selebihnya mempunyai sejarah perjalanan di luar negara, atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit lain.

"Adalah dipohon agar semua anggota kesihatan dan barisan hadapan untuk memaklumkan Ketua Jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta yang menghadiri program Ijtimak di Seri Petaling dari 27 Februari 2020 sehingga 3 Mac 2020; atau majlis perkahwinan pada 6 Mac 2020 di Bangi atau majlis perkahwinan pada 7 Mac 2020 di Putrajaya yang dihadiri oleh anggota kesihatan," katanya.

Majlis perkahwinan itu menyebabkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan perubatan di lima hospital, dengan yang paling teruk terjejas ialah Hospital Teluk Intan.

Menurut Noor Hisham, ia adalah majlis perkahwinan seorang doktor dan pasangannya yang merupakan jururawat, justeru ia dihadiri ramai rakan mereka terutamanya dari Putrajaya.

"Kedua-dua majlis itu (di Bangi dan Putrajaya) dihadiri oleh ramai doktor.
Selepas mereka pulang dari majlis ada yang dikesan positif Covid-19 di Kota Bharu (Kelantan), di Teluk Intan (Perak), dan sebagainya," katanya.

Selain Hospital Teluk Intan, empat lagi hospital yang terjejas teruk akibat jangkitan melibatkan petugas kesihatan ialah Hospital Putrajaya, Hospital Raja Perempuan Zainab 2 di Kota Bharu, Kelanyan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan Hospital Selayang masing-masing di Selangor.

Noor Hisham berkata KKM perlu menyusun semula khidmat penjagaan kesihatan di jabatan dan hospital lain untuk menampung kekurangan tenaga kerja di hospital-hospital berkenaan.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan seramai 14,500 rakyat Malaysia menghadiri perhimpunan tabligh di Sri Petaling, Kuala Lumpur bulan lepas.

Daripada keseluruhan kes Covid-19 setakat ini, 1,057 daripada 1,796 kes dikaitkan dengan kelompok tabligh.

Sementara itu, Noor Hisham berkata bahawa 1,895 petugas kesihatan yang menangani pesakit Covid-19 telah menjalani pemeriksaan.

Daripada jumlah itu, 1,167 telah diuji negatif, manakala 708 sedang menunggu keputusan.

Tidak ada kes petugas kesihatan dijangkiti virus semasa merawat pesakit.

Tiada ulasan: