HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Mac 2020

Itu berita palsu!

BERNAMA

FOTO Hiasan.


POLIS menafikan dakwaan penduduk Raub tidak dibenarkan keluar rumah selepas 12 tengah hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang ditularkan di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supritendan Kama Azural Mohamed berkata, polis tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian sama ada menerusi media sosial atau kenyataan media.

“Oleh itu, dakwaan bahawa polis Raub mengehadkan tempoh keluar rumah selama lima jam bermula 7 pagi kerana dikatakan keadaan di sini seperti ‘pesta’ pada waktu tengah hari adalah tidak benar.

“Dakwaan berlaku kesesakan di Bandar Raub juga tidak benar kerana kerana sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lalu, tiada aduan kesesakan lalu lintas diterima,” katanya semasa dihubungi.

Sehubungan itu, Kama Azural menggesa masyarakat supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat sedemikian di media sosial sehingga boleh menimbulkan kebimbangan awam.

Kama Azural berkata, sejak pelaksanaan PKP, penduduk Raub memberikan kerjasama baik sehingga daerah itu mencatatkan pematuhan sebanyak 97 peratus, antara tertinggi bagi daerah di Pahang.

PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu mengumumkan tempoh pelaksanaannya diteruskan sehingga 14 April ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Tiada ulasan: