
Segalanya bermula apabila 14,500 jemaah ini telah menghadiri Majlis Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Malah majoriti daripada 16 pesakit yang meninggal dunia kerana virus tersebut juga sehingga hari ini ada kaitan dengan kluster tersebut.
Persoalannya, wajarkah mereka terus-terusan menjadi ‘punching bag’ bila bercakap mengenai penularan wabak ini?
Kementerian Kesihatan sendiri menegaskan, jemaah tabligh tidak seharusnya disalahkan dan dianggap sebagai punca penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sebaliknya, jelasnya, perkara utama sekarang adalah orang ramai membantu mengesan kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kenalan mereka supaya dapat dirawat.
“Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita mendiskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh,” katanya.
Satu perkara yang kita patut puji di sebalik semua tanggapan negatif terhadap golongan tabligh ini ialah bagaimana pimpinan mereka bersungguh-sungguh berusaha memastikan jemaah mereka hadir untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital seperti mana yang diarahkan oleh kerajaan.
Sejak bermulanya pengesahan kes pertama yang dikaitkan dengan ijtimak tabligh di Brunei, mereka telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan telah menggesa semua peserta terlibat untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing.

Kesemua markas ini pula dibahagi-bahagikan kepada halaqah-halaqah atau kelompok pertemuan kecil yang berjumlah sekitar 1,100 halaqah keseluruhannya. Setiap halaqah lazimnya mempunya 15-20 masjid dan surau di bawah naungan masing-masing.
Untuk rekod, antara pelajaran pertama yang diterapkan dalam jemaah tabligh apabila mereka mula berkecimpung dalam gerakan ini ialah konsep taat kepada keputusan mesyuarat.
Justeru, apabila mesyuarat pimpinan di Masjid Sri Petaling telah memutuskan supaya semua peserta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, mereka telah mengerahkan seluruh 28 markas tadi untuk menggerakkan kesemua halaqah masing-masing.

Setiap peserta dari setiap masjid dan surau direkod nama mereka oleh setiap halaqah. Nama-nama tersebut dihimpunkan oleh markas masing-masing sebelum disalurkan kepada Masjid Sri Petaling.
Sebab itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sehingga kini,sudah 13,000 daripada 14,500 orang jemaah tabligh tadi telah tampil untuk dibuat saringan kesihatan dengan 6,700 sampel mereka telah diambil oleh pihak KKM.
Dalam erti kata lain, biar apapun yang dilabel terhadap jemaah tabligh ini, pujian harus diberi kerana mereka bersungguh-sungguh mematuhi arahan kerajaan dan berusaha sedaya upaya agar kesemua jemaah mereka itu tampil untuk diperiksa.
Mungkin kedegilan beberapa ahli Jemaah tabligh yang pergi menyertai Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia baru-baru ini menimbulkan lagi kemarahan masyarakat namun perlu diingat, mereka ini bukanlah dari jemaah tabligh Masjid Sri Petaling itu.
Itu bab tabligh, sekarang ini bab kita pula.

Tahukah anda, sehingga kini sebanyak 695 laporan polis dibuat, kertas siasatan terhadap 46 kes telah dibuka dan 28 orang telah ditangkap berhubung perkara itu!
Kalau betul jemaah tabligh punca merebaknya Covid-19, apa bezanya kita?
Perbuatan kita melanggar PKP ini pun secara langsung turut menyumbang penyebaran virus ini!
Terbaru terdapat pula ‘trend’ rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini, ingin kembali ke bandar-bandar besar!

“Telah mula menunjukkan trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini, ingin kembali pulang ke bandar besar untuk kembali bekerja dan saya harap ia tidak dilakukan sama sekali seperti yang telah dinasihatkan sebelum ini. Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” tegasnya.
Ismail Sabri berkata, bagi membendung perkara itu, polis telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara dan mereka yang berkenaan akan dinasihatkan pulang semula ke kampung halaman masing-masing sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan itu berakhir.
Beliau berkata tindakan undang-undang mungkin akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan dan nasihat polis.
“Pihak polis mungkin akan mengubah cara mereka bukan setakat nasihat tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil kepada mereka yang menghalang penjawat awam dan juga masih berdegil dan gagal mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Jangan terlalu taksub menyalahkan orang lain. Lihat juga kelemahan kita sendiri. Dalam hal ini, jangan kita begitu bersungguh menyalahkan jemaah tabligh sedangkan kita sendiri pun padaa masa yang sama gagal mematuhi arahan kerajaan.
Pepatah orang tua-tua ada mengatakan, mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih.
Untuk menghentikan penularan wabak ini, ia memerlukan kerjasama semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kepercayaan, ras mahupun keturunan.
Tiada pengecualian!
Ingat, dipenghujungnya, kita jaga kita! – Malaysia Gazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan