HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2020

Abim sumbang 1,400 gaun bedah untuk kakitangan kesihatan

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menerima 1,400 gaun bedah untuk diedarkan kepada kakitangan di hospital awam dan klinik yang memerlukan.

Menurut Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz, sebelum ini mereka telah menerima laporan kakitangan hospital dan klinik menjahit kelengkapan perlindungan diri (PPE) sendiri menggunakan sumber sedia ada, termasuk beg plastik, kerana kekurangan peralatan tersebut.

“Tujuan utama kempen ini adalah untuk pastikan keselamatan barisan hadapan menjadi keutamaan kita bersama,” ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Faisal turut menyorot bahawa terdapat laporan mengenai doktor di luar negara yang dijangkiti wabak Covid-19 kerana ketiadaan PPE.

Doktor yang dimaksudkan adalah Dr Usama Riaz yang merawat pesakit Covid-19 di Pakistan yang tular di media sosial selepas meninggal dunia baru-baru ini.

“Jadi, kami tidak mahu situasi luar negara berlaku di Malaysia. Keselamatan barisan hadapan ini perlu diutamakan,” kata Faisal lagi.

Faisal turut menjelaskan kos untuk mendapatkan bekalan gaun bedah tersebut ditanggung sepenuhnya oleh dana kecemasan Abim berjumlah RM35,000.

“Kos untuk satu gaun adalah RM25. Sebenarnya agak mahal. Tetapi kami dahulukan simpanan kecemasan kami kerana ia amat mendesak,” jelasnya.

Terdahulu, Abim bersama Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Projek Wawasan Rakyat (PoWR) telah mengambil inisiatif melancarkan Tabung Khas untuk sebagai usaha untuk meringankan beban golongan yang terkesan.

Projek kerjasama itu mengumpul sumbangan orang ramai bagi membekalkan keperluan asas seperti penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan keperluan lain kepada kakitangan kesihatan dan perubatan untuk kanak-kanak.

Faisal juga berkata kesemua 1,400 gaun bedah itu akan diedarkan ke Hospital Putrajaya, Klinik Kesihatan Rembau serta klinik kesihatan di sekitar Lembah Klang.

“Buat masa ini, kami akan gunakan dana kecemasan dahulu kerana keadaan mendesak.

“Insya-Allah, berdasarkan sumbangan kami akan cuba untuk dapatkan lebih banyak gaun bedah untuk kegunaan doktor, jururawat dan semua yang terlibat dan memerlukan,” katanya.

Tiada ulasan: