UMNO ONLINE
KUALA
LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sedih berikutan kakitangan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas fasiliti kesihatan
swasta dijangkiti COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil
Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah sangat bimbang dengan perkembangan
tersebut memandangkan mereka merupakan petugas barisan hadapan yang
mengorbankan masa serta bertungkus lumus melaksanakan tanggungjawab
untuk membendung pandemik itu.
“Sehingga 21 Mac lepas, KKM mengesahkan 19 kakitangannya dan lima
petugas fasiliti kesihatan swasta telah dijangkiti COVID-19 manakala
sehingga tengah hari 23 Mac pula, sebanyak 212 kes baharu dilaporkan
menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini naik kepada 1,518
kes.
“Dua daripada 19 kakitangan KKM tersebut sedang dirawat di unit
rawatan rapi (ICU) dan hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua
mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan
kluster jemaah tabligh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga 22 Mac, seramai 460 kakitangan KKM yang menjalani ujian
saringan pengesanan COVID-19 didapati negatif dan baki 190 lagi masih
menunggu keputusan.
Setakat tengah hari ini, KKM mengesahkan 14 kematian akibat COVID-19
di Malaysia, yang turut melibatkan seorang doktor KKM, berusia 48 tahun
di Perlis.
Ahmad Fadil berkata sehubungan itu, Seri Paduka menitahkan rakyat
supaya bersikap jujur kepada petugas KKM mengenai sejarah perjalanan dan
kontak mereka bagi membantu pengesanan kontak dan mengadakan tindakan
lanjut termasuk rawatan untuk membendung penularan wabak yang boleh
meragut nyawa itu.
“Al-Sultan Abdullah turut menitahkan rakyat dengan kadar segera pergi
ke pusat kesihatan KKM terdekat jika mempunyai gejala COVID-19 dan ada
kontak dengan kes-kes positif wabak ini. Rakyat khususnya mereka yang
mempunyai simptom digesa supaya tidak mengambil sikap mudah dan sambil
lewa dalam isu ini.
“Seri Paduka bertitah adalah amat penting untuk kita bersikap jujur
ketika saringan kerana maklumat yang tepat ini penting kepada KKM. Ini
juga dapat mengelakkan petugas-petugas barisan hadapan KKM tidak
dijangkiti,” katanya.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka juga menzahirkan setinggi penghargaan
kepada semua petugas KKM dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan
serta petugas fasiliti kesihatan swasta khususnya di barisan hadapan
yang telah mengorbankan masa dalam melaksanakan tanggungjawab dengan
penuh dedikasi dan semangat tinggi.
“Seri Paduka menyanjung tinggi komitmen yang telah diberikan oleh
kesemua petugas kerajaan dan menzahirkan harapan agar mereka terus tabah
dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan negara
yang kita cintai bersama ini,” katanya.
Al-Sultan Abdullah mengulangi titah agar rakyat terus memainkan
peranan dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan saranan serta
panduan daripada KKM bagi memastikan pandemik ini dapat dibendung dan
diakhiri secara berkesan dengan segera.
Seri Paduka turut menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga
mangsa yang telah meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 dan berharap
rakyat Malaysia terus bersama-sama berdoa supaya usaha membendung
pandemik itu dirahmati, diberkati dan dapat ditangani dengan segera. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan