HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2020

PKP Covid-19: Busker alih panggung ke dalam talian

 
Malaysiakini
 
 
 
Kehadiran penghibur jalanan atau 'busker' sudah menjadi pemandangan biasa di ibu negara. Laman pusat beli-belah Sogo, susur Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang antara tempat tumpuan yang menjadi panggung buat para seniman ini mempersembahkan bakat mereka.

Pada satu-satu masa penghibur jalanan di Kuala Lumpur ini boleh menghimpunkan hampir 300 penonton yang menikmati persembahan santai nyanyian, alunan muzik, pertunjukan silap mata atau pantomim.

Kegiatan kesenian dan hiburan rakyat itu kini terhenti seketika selepas kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 18 Mac lalu.

Sudah pasti dalam tempoh tersebut ramai busker yang terkesan kerana hilang punca pendapatan yang dijana secara harian itu.

Mujurlah ada kemudahan internet, golongan busker kini boleh membuat persembahan mereka di rumah masing-masing secara langsung menerusi aplikasi media sosial Instagram dan Facebook.

Ada keluarga nak tanggung

Setiap hari, penyanyi folk Meor Yusof Aziddin biasanya akan menghiburkan orang ramai yang lalu lalang di pintu masuk KTMB di KL Central.

Bagaimanapun, sejak tempoh PKP, Meor Yusof memberitahu Malaysiakini, dirinya terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya buat busking dalam talian ini dari 22 Mac. Idea ini datang dari presiden Kelab Malaysia Buskers. Jadi, ramai juga busker yang buat busking dalam talian ni, secara langsung di Facebook.
"Saya buat live busking ini cuma untuk tempoh PKP saja, sebab kita ada keluarga untuk ditanggung.

"Jadi, ini jalan alternatif untuk teruskan hidup," katanya kepada Malaysiakini.

Sejak 22 Mac lalu, Meor yang juga bapa kepada empat orang cahaya mata itu membuat persembahan secara langsung di laman sosial Facebooknya dengan menyanyikan lebih 12 buah lagu saduran.

Persembahan Meor itu juga mendapat tontonan lebih 500 penonton.

Antaranya Doa (Harmoni), Tuhan (Bimbo), Sofa Biru (Meor), Diam-diam Rindu (Mus Mulyadi) dan Yesterday (Beatles).
Menerusi persembahan itu juga Meor memohon sumbangan seikhlas hati dari pengikutnya yang boleh disalurkan ke akuan CIMB - 7011201414.

Rata-rata yang mengikuti Meor secara langsung juga turut meninggalkan pesanan lagu di ruangan komen selain mengucapkan terima kasih.

Meor juga ditanya mengenai jumlah sumbangan yang diperolehinya.

"Soal sumbangan subjektif, bergantung kepada rezeki. Macam kita busking juga, rezeki sikit atau banyak kita terima.

"Sekurang-kurangnya ada usaha dan ada juga rakan Facebook yang bagi sokongan," jawabnya.

Pendapatan terjejas

Sementara itu, Presiden Kelab Malaysia Buskers (MYBC) Wady Hamdan berkata bagi dirinya pula idea membuat persembahan secara dalam talian itu lahir secara spontan.

"Bagaimana mereka nak teruskan hidup?

"Jadi, saya kongsikan idea ini ikut Whatsapp kumpulan busker dan sekarang seorang demi seorang dah mula buat dan sokong satu sama lain.

"Setakat ini mereka cakap pun okay, adalah pendapatan sikit-sikit dari tak ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jelas Wady, dirinya juga sangat faham dengan keadaan ekonomi golongan 
buskers.

"Saya sangat faham kitaran ekonomi buskers.

"Sudah tentu buskers sepenuh masa mengeluh (dengan arahan PKP). Biasa ada pendapatan yang baik tiap hari. Tapi sejak PKP, memang pendapatan terjejas. Tak ada pendapatan.

"Sebilangan yang ada simpanan, tak apa. Yang tiada dan komitmen tinggi, sangat rasa kepayahan (PKP)," tambahnya.

Perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Tiada ulasan: