Polis boleh tahan dan dakwa mereka di mahkamah, kata peguam
KUALA LUMPUR –
Individu degil yang melanggar arahan di bawah Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac, untuk
mencegah penularan jangkitan COVID-19, berdepan hukuman penjara atau
denda.
Pengamal undang-undang berpendapat bahawa
jika pendekatan lebih lembut tidak dapat menjamin pematuhan sepenuhnya,
pihak polis boleh menahan dan mendakwa mereka di mahkamah.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla
berkata, untuk keselamatan dan kesihatan majoriti dan mengambil kira
pelaksanaan PKP yang telah masuk minggu kedua, sudah tiba masanya untuk
pihak berkuasa melaksanakan undang-undang dengan tegas iaitu menahan dan
mendakwa individu yang dengan sengaja tidak mematuhi perintah itu.
“Pada ketika ini, kepentingan awam adalah
melebihi kepentingan individu, mereka yang tidak mematuhi
undang-undang, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Mana-mana individu yang melakukan suatu
kesalahan di bawah akta ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak
melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata, orang awam perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Orang ramai harus sedar, ini adalah
perang menentang musuh-musuh yang tidak kelihatan, dan kita perlu
memahami dan membantu untuk mengawal pandemik. Mana-mana pelanggaran
perintah ini (PKP) adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah
Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara.
“Bagaimanapun, kerana kita dalam situasi
yang tak pernah dialami dan kerana banyak ketidakpastian, saya mendesak
pihak berkuasa untuk menggunakan pendekatan yang lembut dengan memberi
amaran dan menasihati dan mematuhi peraturan undang-undang dalam
menangani pesalah dan seboleh-bolehnya mengelakkan penahanan dan
pendakwaan, melainkan situasi yang memerlukan langkah-langkah lebih
tegas diambil,” katanya.
Peguam, Datuk Hariharan Tara Singh pula
berkata, pihak polis perlu menangkap sesiapa yang dengan sengaja
menghalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan tugasan untuk
menguatkuasakan PKP.
Hariharan menambah, sesiapa dengan
sengaja menghalang mana-mana kakitangan awam dalam melaksanakan fungsi
awamnya, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,
yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda maksimum
RM10,000 atau kedua-duanya.
Hari ini, seorang mekanik menjadi orang
pertama didakwa atas pertuduhan berkaitan dengan PKP iaitu menghalang
seorang penjawat awam daripada menjalankan tugas penguatkuasaan Ops
COVID-19.
S. Punniamurthy, 33, yang mengaku
bersalah atas pertuduhannya di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak,
didenda RM5,000 dan jika dia gagal membayar denda, dia boleh dipenjara
10 bulan.Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.
Sementara itu di Kuala Lumpur, dua lelaki
menjadi individu pertama yang dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret
kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang pegawai polis yang
menjalankan tugas pencegahan COVID-19.
Pembantu kedai S. Sugendran, 31, dan
pengawal keselamatan, M. Annblagan, 37, masing-masing dijatuhi hukuman
penjara dua bulan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
PKP yang berkuat kuasa selama 14 hari
bermula Rabu lepas antara lain melibatkan penutupan semua premis
kerajaan dan swasta kecuali mereka yang menyediakan perkhidmatan penting
dan semua rumah ibadat serta premis perniagaan kecuali pasar raya,
pasar basah, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual keperluan
harian.
Kerajaan juga menyeru orang ramai untuk
berada di rumah dan mengelakkan keluar rumah semasa tempoh perintah
untuk mencegah penyebaran COVID-19 di negara ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan