Ahli
Parlimen Subang Wong Chen membidas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin
yang mengumumkan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) hingga 14
April ini tanpa menawarkan sebarang insentif kepada rakyat untuk
menangani kebimbangan ekonomi.
"Ia satu bahana PR. Sikap bongkak
seperti ini tidak membantu membina keyakinan untuk Malaysia melalui
krisis ini," kata Wong Chen dalam satu catatan Facebook hari ini.
Wong
Chen berkata lanjutan itu bukan sesuatu yang tidak dijangka
memandangkan China mengambil masa 50 hari untuk membendung penyebaran
Covid-19 dan mereka hanya berjaya selepas kerajaannya melaksanakan
langkah-langkah tegas dan menyalurkan sumber-sumber yang besar.
"Apa
yang sama sekali tidak dijangka dan tidak boleh diterima adalah
kerajaan ini masih belum berjanji dan menggunakan jumlah rizab yang
sepatutnya yang didakwa berjumlah RM400 bilion (menurut bekas penasihat
ekonomi bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Muhammed Abdul
Khalid), untuk membantu rakyat dan ekonomi," kata Wong.
Beliau menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh
Muhyiddin berhubung langkah-langkah yang telah diambil setakat ini.
Katanya,
pengeluaran dana KWSP yang dicadangkan (RM500 setiap bulan) melibatkan
wang pencarum sendiri sementara beliau menolak moratorium pinjaman
sebagai langkah "untuk melindungi bank-bank dan bukannya benar-benar
untuk membantu peminjam."
"Pada asasnya, lebih banyak masa
diberikan kepada peminjam tetapi tiada pemotongan kadar faedah yang
diberikan oleh bank yang kaya raya. Setakat ini, bank dan kerajaan tidak
merasa sebarang keperitan pun,” katanya.
Wong juga mengalih bidasannya kepada ahli parlimen Kinabatangan, Bung
Moktar Radin yang berkongsi di media sosial dengan bersantai di kolam
renang di rumahnya.
"Saya fikir ada beberapa ahli parlimen
yang menderita semasa PKP dengan terapung di kolam renang peribadi
mereka. Sikap ini perlu dihentikan."
Wong berhujah bahawa jika kerajaan tidak membelanjakan wang sekarang, keadaan akan menjadi lebih teruk kemudian nanti.
"Jangkaan
yang adil dan munasabah adalah ikrar kerajaan untuk membayar
sekurang-kurangnya RM6 bilion hingga RM10 bilion sebulan, untuk
melindungi pekerjaan, menstabilkan kepenggunaan dan ekonomi.
"Dengan
lanjutan PKP, cabaran sekarang adalah tentang kebolehpulihan pekerjaan,
survivabiliti majikan, bantuan langsung kepada golongan miskin yang
simpanan mereka sudah kehabisan, termasuk mereka yang di luar sistem
KWSP serta pekerja asing," katanya
Menurut Wong, dianggarkan terdapat kira-kira 3 hingga 4 juta pekerja yang tidak mencarum kepada KWSP.
"PM
mesti melancarkan pelan komprehensif untuk menangani (isu-isu ini)
secepat mungkin. Dia berjanji untuk membuat satu lagi pengumuman Jumaat
ini, jadi mari kita lihat jika dia akan memberi sesuatu yang bermakna,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan