HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mac 2020

Duduk di rumah langkah terbaik kekang Covid-19

 
Malaysiakini
 
 
Strategi melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) merupakan langkah terbaik dalam usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

Ini kerana, koronavirus adalah penyakit baru dan tidak banyak diketahui mengenainya.

Justeru, kata pakar epidemologi, Prof Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud, berkata tindakan mengkuarantin - yang diperkenalkan sejak abad ketujuh atau kelapan - adalah berkesan mengekang penularan hampir semua penyakit.

Bercakap sebagai salah seorang panel forum dalam talian bertajuk Penyesuaian Terhadap Cabaran Covid-19 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) hari ini, Awg Bulgiba berkata memang ada logik untuk kerajaan mengarahkan orang ramai tinggal di rumah masing-masing.

"Logiknya ialah sekiranya kita tidak berdekatan dengan orang yang berpenyakit, maka risiko kita untuk mendapat penyakit tersebut berkurangan dengan banyak sekali, itu yang penting," katanya.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang tampil sebagai moderator meminta Awg Bulgiba menjelaskan mengapa sangat penting untuk orang ramai berada di rumah.

"Saya sokong PKP kerana saya tidak nampak langkah lain yang boleh membendung penyakit ini dengan cepat," katanya.

Kesan dalam masa singkat

Untuk rekod PKP dilaksanakan mulai 18 Mac lalu dan sepatutnya tamat hujung bulan ini. Bagaimanapun semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, berkata PKP disambung sehingga 14 April ini.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Pasar raya dan kedai menjual keperluan asas dibenarkan beroperasi dengan ketetapan waktu yang dihadkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Awg Bulgiba berkata langkah herd immunity (imuniti berkelompok) tidak boleh diterima di Malaysia kerana kemungkinan kegagalannya sangat tinggi.
"Dari segi epidemologi, apa yang dipanggil sebagai herd immunity adalah apabila 95 peratus daripada suatu penduduk mempunyai imuniti terhadap sakit tersebut.

"Tapi masalahnya (sekarang) sebab virus ini adalah virus yang baru. Kita tidak pasti sama ada seseorang yang dijangkiti melalui jangkitan normal bukan melalui vaksin akan mempunyai imuniti semula jadi atau pun ketahanan diri semua jadi terhadap virus tersebut," katanya. 

Sebelum itu Khairy berkata, langkah pelaksanaan imuniti pukal itu pada akhirnya dapat menurunkan lengkung (graf pesakit) dalam masa singkat berbanding strategi mitigasi yang mengambil masa agak lama.

Kata Awg Bulgiba ia sukar dapat dilakukan kerana hal berkaitan koronavirus belum banyak diketahui.

"Ini kita tidak pasti, kalau kita pasti, dan virus tersebut tidak mendatangkan kemudaratan, maka itu tidak mengapa," katanya.

Untuk rekod, imuniti kelompok adalah bentuk perlindungan secara tidak langsung apabila sebahagian besar penduduk menjadi kebal terhadap sesuatu jangkitan.

Dalam populasi yang melibatkan sebahagian besar masyarakat adalah imun, rantaian jangkitan mungkin terganggu sekali gus menghentikan atau melambatkan penyebaran penyakit.

Tiada ulasan: