HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Mac 2020

Kisah anak flat Loke Yew memerangi Covid-19…

Syahril A. Kadir
MGF25032020_SIDANG-MEDIA-KKM_15
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI,
 

KELIBATNYA sentiasa dinanti para petugas media setiap hari. Walaupun adakalanya jelas kelihatan riak kepenatan di wajah Ketua Pengarah Kesihatan itu, beliau tidak pernah gagal memberi sidang akhbar memaklumkan perkembangan dan fakta terkini penularan virus Covid-19 di negara ini.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.

Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. Pelantikannya diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Ia dibuat berdasarkan pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang perubatan.

Saya masih teringat kata-kata bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa sewaktu mengumumkan pelantikan Noor Hisham ketika itu.

“Saya percaya pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibilitinya mampu memastikan matlamat dan agenda kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” kata Ali.

Noor Hisham yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), merupakan Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya dan Pakar Perunding Bedah Kanan Hospital Putrajaya pada 2007, Pegawai Perubatan Pakar Bedah Umum Hospital Putrajaya (2004) dan Pakar Bedah Umum (1994).

Dr Noor Hisham yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Surgeri dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perubatan pada Ogos 1988. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global, Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).

D6qegvAU0AEvGCm

Sejak akhir-akhir ini banyak kisah tentang beliau bertebaran di media sosial. Ada yang mengatakan beliau berasal dari keluarga Cina Muslim dan pernah melalui kehidupan di sebuah flat kecil di Kuala Lumpur.

Laman web bekas pelajar Sekolah Menengah Methodist Kuala Lumpur (MBSKL) pernah mengimbau kisah mengenai Noor Hisham.

cvb

Namun sehingga kini Noor Hisham tidak pernah mengiyakan atau menafikan cakap-cakap tentang diri beliau.

Yang penting baginya, keutamaan yang perlu ditumpukan semua pihak ketika ini adalah kerja memerangi virus Covid-19 dan bukan mengenai dirinya.

Izinkan saya memetik mesej yang dihantar beliau kepada saya ketika saya bertanyakan perkara itu kepadanya sebentar tadi.

“Let us all work to solve Covid-19 first. This is the priority. Its not about me, its about Covid,” katanya dengan penuh rendah diri.

Hebat Ketua Pengarah ini. Beliau mendahulukan tanggungjawab untuk negara, agama dan bangsa Malaysia melebihi daripada segala-galanya.

Sesungguhnya kerja keras Noor Hisham dan kata-kata semangat yang sering beliau berikan kepada petugas perubatan sedikit sebanyak telah menyuntik kekuatan kepada mereka yang kini sedang berhempas pulas dalam barisan utama di hospital-hospital seluruh negara.

Ia seperti mana yang beliau nukilkan dalam akaun peribadi Facebooknya;
MGF21022017_HARI-KE-8_KES-KIM-JONG-NAM_13
Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
“Kepada semua warga kesihatan barisan depan, perkasakan diri anda dan jagalah kesihatan. Kita semua dipertanggungjawabkan untuk melawan COVID-19 yang tidak kelihatan, malah lebih penting lagi kita adalah benteng pertahanan terakhir dan negara kita kini bergantung kepada kita. 

“Sama ada berjaya atau tidak, terpulang kepada kita sekarang untuk memimpin dan melakukan yang terbaik untuk Raja dan negara.

“Mari kita bersama-sama lakukan semua ini demi negara kita.” (FB Noor Hisham Abdullah, 25 Mac 2020).

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada susuk lelaki berusia 57 tahun ini untuk terus menjalankan amanah yang cukup berat di kala ini.

Salute! – Malaysia Gazette

Tiada ulasan: