KUALA LUMPUR – Meskipun tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat sebelum bulan Ramadan, bazar
menjual makanan tidak boleh dilaksanakan seperti kelazimannya.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Anuar Musa berkata, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan termasuk cara melaksanakannya.
Katanya, dalam masa sama cara penjualan juga perlu diubah bagi mengekalkan aspek kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan Covid-19 dapat dibendung.
“Kena fikir semua perkara jangan
terburu-buru, kita masih ada masa lagi. Tetapi bazar Ramadan yang dalam
bentuk lazim yang kita tahu itu memang tidak boleh dilaksanakan.
“Kalau nak buat juga bagaimana nak kekalkan, memenuhi permintaan tanpa melanggari kaedah-kaedah kawalan kesihatan.
“Saya percaya walaupun setelah tamat PKP
amalan-amalan baik dari sudut keselamatan dan kesihatan hendaklah
menjadi cara hidup bagi warga kota,” katanya selepas menyaksikan Proses
Sanitasi Awam C19 di Kampung Baru.
Ia melibatkan semburan cecair nyah kuman di kawasan tersebut dengan menggunakan dron.
Sementara itu, Annuar memberi tempoh
kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengkaji dan menilai
keperluan untuk melaksanakan bazar Ramadan.
“Saya beri masa sikit lagi untuk DBKL
membuat kajian antara keperluan dari sudut permintaan beserta dengan
perlunya mengamalkan kaedah-kaedah yang diperakukan oleh KKM, jangan
ambil tindakan kerana orang lain buat jadi kita buat.
“Keperluan di bandaraya berbeza, misalnya
di bandaraya banyak yang bekerja, mereka masih sangat bergantung kepada
makanan yang sedia ada untuk dibeli,” tambahnya.
Dalam pada itu, Annuar berpendapat
operasi pasar raya perlu dikaji semula khususnya cara pelanggan memilih
barang mentah termasuklah jumlah pelanggan yang perlu dikurangkan agar
tidak terlalu ramai berada dalam satu premis dalam satu satu masa.
“Dalam konteks itu dan juga beberapa amalan lain dalam kita menguruskan pasar raya-pasar raya kita, pasar terbuka.
“Kita kena elak terlalu ramai, kita kena
elak penjualan tanpa sistem sebagai contoh kalau jual sayur atau ikan
pelanggan datang pilih dengan pegang sana, pegang sini pilih, pegang tak
jadi ambil itu cara kita,” ujarnya.
Menurut Annur, di negara maju barang mentah yang dijual di pasara raya sudah bungkus dan pelanggan hanya ambil apa yang mereka mahu.
“Itu satu contoh kecil yang patut diterapkan di dalam cara kita di bandar,” katanya.
“Jadi aspek kebersihan sentiasa menjadi
perkara utama sekali jadi saya harap dengan apa yang kita lalui sekarang
segera tamat tetapi gaya hidup yang mengutamakan kesihatan itu dapat
kita teruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan