HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mac 2020

Ke tepi - 'Kali ini polis pula kena tahan'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini



Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu, semua orang diarahkan untuk tinggal di dalam rumah masing-masing jika tiada urusan penting di luar.

Anggota keselamatan bertugas melakukan rondaan dan membuat sekatan di jalan raya bagi memastikan perintah kawalan itu dipatuhi.

Lain pula ceritanya pada Jumaat lalu, apabila kereta peronda polis pula yang ditahan dan diminta berhenti ke tepi jalan.

Tetapi bukan untuk disoal, sebaliknya mereka mendapat hadiah juadah makanan.

Itu semua sebagai tanda terima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang tetap turun melunaskan tanggungjawab dalam tempoh yang getir ini.

Seorang pengusaha itik panggang, Norman Shah Abdul Aziz berkongsi kisah mencuit hati ini di media sosial.

"(Aku suruh keretanya) ke tepi. Dengan muka penuh tanda tanya dia turun kereta. 'Ada apa boleh saya bantu encik?' tanya pegawai polis tersebut.

"Terima kasih atas sumbangan tuan dari kami semua. Sila nikmati sedikit juadah dari kami. Terkejut polis tu," katanya pada hantaran di Facebook.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudian, Norman menjelaskan kejadian yang berlaku di Damansara itu dilakukannya sebagai tanda hormat dan dalam masa yang sama melucukan.

“Biasanya dia yang tahan aku, kali ini aku pula yang tahan dia,” seloroh peniaga berusia 44 tahun itu.

Selepas itu juga, katanya, dia turut membuat penghantaran makanan terhadap sepasukan polis yang membuat sekatan jalan di Pusat Perubatan Subang Jaya pada hari sama.

“Disebabkan rasa bersyukur tu, kita buat lebih makanan, kita mahu kongsi rezeki dengan petugas barisan hadapan.

“Orang lain selamat di rumah, tapi orang dekat luar ini pertaruhkan nyawa.

“Saya sangat-sangat menghormati mereka,” katanya lagi.

Cerita Norman hanyalah salah satu daripada kisah yang menaikkan semangat sepanjang tempoh sekatan pergerakan ini berlangsung.

Sabtu lalu, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah turut memasak sendiri juadah buat pekerja kesihatan di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Juga terdapat usaha berterusan bagi membekalkan petugas kesihatan barisan hadapan dengan kelengkaapan perlindungan peribadi (PPE) yang bertugas membuat saringan dan merawat pesakit Covid-19, memandangkan bekalan kelengkapan itu kian berkurangan

Perintah kawalan pergerakan ini bertujuan mengelak jangkitan baru Covid-19 dengan meminta rakyat duduk di rumah selama tempoh kuarantin 14 hari.

Bagaimanapun, orang awam masih boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan runcit, atau memilih untuk membuat pembelian dan meminta barangan itu dihantar kepada mereka.

Tiada ulasan: