MALAYSIAKINI
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail menyeru kerajaan supaya mengkaji semula keputusan membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari akaun dua.
Sebaliknya, beliau yang adalah bekas menteri, mencadangkan supaya kerajaan membatalkan kutipan cukai pendapatan melalui Potongan Cukai Berjadual (PCB) untuk tempoh selama 12 bulan.
"Saya membaca dengan penuh kebimbangan pengumuman kerajaan bahawa semua pencarum KWSP berumur 55 tahun ke bawah kini dibenarkan mengeluarkan sebanyak RM500 sebulan daripada caruman terkumpul mereka di KWSP untuk tempoh 12 bulan akan datang.
"Ini adalah satu idea yang akan menjejas masa depan ramai rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Permohonan bagi pengeluaran itu akan dibuka bermula 1 April.
Namun, Saifuddin berkata dalam krisis dan kemelesetan yang dihadapi hari ini, kerajaan seharusnya menunjukkan kesediaan berkorban untuk rakyat.
"Adalah lebih wajar semua pekerja yang bergaji kurang dari RM10,000 sebulan di kecualikan dari potongan cukai bulanan untuk tempoh 12 bulan akan datang.
"Ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.
"Tindakan ini akan merangsang kegiatan ekonomi melalui perbelanjaan pengguna. Kesan alir-ke bawah dari pendekatan ini adalah lebih cepat dalam merancakkan aktiviti perniagaan, khusus di sektor peruncitan," katanya.
Ia bukanlah akaun simpanan seperti di bank-bank yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
"Kini jangka hayat rakyat Malaysia telah mencapai 76 tahun. Namun, jumlah simpanan KWSP sebahagian besar mereka adalah tidak mencukupi untuk menyara kehidupan sehingga ke 76 tahun.
"Lebih kurang 70 peratus dari pencarum KWSP mempunyai simpanan yang hanya dapat bertahan untuk selama 5 tahun sahaja selepas mereka bersara," katanya.
"Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab untuk menyuruh rakyat Malaysia mengeluarkan RM500 sebulan daripada simpanan KWSP untuk membiayai keperluan mereka," kata beliau sambil menambah keputusan itu adalah satu langkah jangka pendek yang akan memudaratkan mereka pada masa hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan