HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2020

Apa anda perlu tahu tentang penangguhan pembayaran balik pinjaman bank?

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan soalan lazim (FAQ) mengenai penangguhan pembayaran balik pinjaman selama 6 bulan.

Antara lain, BNM menjelaskan bahawa peminjam tidak perlu memohon kerana proses itu secara automatik.

BNM juga menjelaskan bahawa faedah akan tetap terakru (diambil kira semasa tempoh penangguhan.

Ini boleh menyebabkan jumlah ansuran yang lebih tinggi atau lanjutan tempoh pinjaman.

Berikut adalah FAQ sepenuhnya.


1. Apakah penangguhan pembayaran balik pinjaman atau pembiayaan?

Tawaran ini merupakan penangguhan atau penggantungan sementara obligasi pembayaran balik pinjaman (pinjaman pokok dan faedah) untuk jangka masa yang terhad.

Dalam tempoh ini, pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan yang memenuhi syarat-syarat tidak perlu membuat apa-apa pembayaran balik, dan bayaran lewat atau penalti tidak akan dikenakan.

Faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.

Pembayaran balik pinjaman/pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.

2. Apakah objektif pakej ini? 

Tujuan pakej ini adalah untuk memberikan bantuan kepada individu dan perniagaan yang menghadapi kekangan kewangan sementara akibat wabak Covid-19.

Kami berharap pakej ini dapat membantu individu dan perniagaan yang menghadapi masalah kewangan untuk menghadapi cabaran dalam tempoh ini.

Pembayaran balik pinjaman/pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.

3. Pinjaman mana yang layak mendapatkan penangguhan itu? 

Bagi individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penangguhan dalam pinjaman konvensional atau obligasi pembayaran balik pembiayaan Islam (kecuali kad kredit) yang akan dilaksanakan secara automatik oleh bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP) jika pinjaman/pembiayaan memenuhi kriteria yang berikut:

• tidak tertunggak melebihi 90 hari pada 1 April 2020; dan
• dalam denominasi Ringgit Malaysia.

Sementara itu, peminjam korporat/pelanggan boleh memohon moratorium pembayaran balik pinjaman/pembiayaan daripada bank masing-masing.

Bolehkah saya meminta untuk melanjutkan tempoh penangguhan sehingga melebihi enam bulan?

Penangguhan ini hanya selama 6 bulan. Sila hubungi bank anda jika memerlukan tempoh penangguhan yang lebih lama.

4. Sekiranya saya memilih untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman/ pembiayaan, adakah rekod CCRIS saya akan terjejas teruk? 

Tidak. Walau bagaimanapun, faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam/pelanggan perlu menunaikan pembayaran balik yang tertangguh pada masa akan datang.

5. Perlukan saya memohon? 

Tidak. Semua pinjaman/pembiayaan individu dan PKS (tidak termasuk kad kredit) yang memenuhi kriteria akan secara automatik layak untuk ditangguhkan.

Pinjaman saya telah gagal dibayar balik, bolehkah saya memohon? Adakah pinjaman di bawah program penjadualan semula dan penstrukturan semula (R&R) layak untuk mendapat pakej penangguhan?

Akaun pinjaman/pembiayaan yang sudah melebihi tunggakan 90 hari tidak layak untuk ditangguhkan.

Peminjam/pelanggan dinasihati supaya menghubungi bank mereka untuk mendapatkan bantuan. Pinjaman/pembiayaan di bawah program R&R juga layak mendapatkan penangguhan tertakluk pada kriteria yang ditetapkan.

6. Bagaimanakah pakej penangguhan ini berbeza daripada moratorium pinjaman/ pembiayaan lain yang diumumkan oleh bank baru-baru ini? 

Bank-bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP) bersikap proaktif dalam usaha memenuhi keperluan peminjam/pelanggan mereka dengan menawarkan pelbagai pakej penjadualan semula dan penstrukturan semula bagi membantu peminjam/pelanggan yang terjejas.

Inisiatif seumpama ini sangat dialu-alukan dan sangat digalakkan pada masa-masa yang mencabar ini.

Peminjam/pelanggan yang menerima bantuan bank dan IKP untuk menjadualkan semula dan menyusun semula pinjaman/pembiayaan mereka boleh memilih untuk tidak menyertai pengaturan tersebut, jika mereka ingin berbuat demikian.

7. Bank manakah yang menawarkan pakej penangguhan ini? 

Semua bank berlesen, bank Islam berlesen dan institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan (IKP) yang dikawal oleh BNM akan menawarkan pakej penangguhan ini. Peminjam/pelanggan yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memanfaatkan kelonggaran ini secara automatik.

8. Bagaimanakah saya boleh tahu jika bank saya telah mendaftarkan pinjaman saya ke dalam pakej penangguhan? Bagaimanakah saya boleh tahu bahawa saya layak? 

Institusi perbankan akan memberikan maklumat yang secukupnya kepada individu dan peminjam/pelanggan PKS bahawa pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka akan ditangguhkan di bawah skim ini.

Maklumat sedemikian boleh disampaikan melalui nasihat umum yang dikeluarkan kepada peminjam/pelanggan menerusi saluran yang sesuai, dan/atau diterbitkan dalam laman sesawang institusi perbankan.

9. Saya ingin meneruskan pembayaran balik pinjaman/ pembiayaan saya. Bagaimanakah saya boleh memilih untuk tidak menyertai pakej penangguhan automatik ini? 

Anda perlu menghubungi bank anda jika anda ingin memilih untuk tidak menyertai pakej penangguhan automatik ini atau ingin terus membuat pembayaran/pembiayaan anda sepenuhnya dan tepat pada masanya.

10. Saya bekerja dalam sektor pelancongan dan telah terjejas teruk akibat peristiwa baru-baru ini. Saya telah bersusah payah memenuhi pembayaran gadai janji bulanan saya sejak Januari dan simpanan saya tidak lama lagi akan habis. Adakah saya layak mendapatkan pakej penangguhan?


Ya, dengan syarat pinjaman/pembiayaan anda tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada 1 April 2020.

11. Saya menjalankan perniagaan kecil yang telah terjejas teruk akibat Covid-19. Jika perniagaan akan terus terjejas, saya tidak akan mampu membayar pinjaman kereta dan pinjaman peribadi saya tidak lama lagi. Adakah saya layak untuk pakej penangguhan? 

Ya, dengan syarat pinjaman/pembiayaan anda tidak tertunggak selama lebih daripada 90 hari pada 1 April 2020.

12. Adakah saya akan dikenakan faedah tambahan atas jumlah bayaran balik yang ditangguhkan selama tempoh enam bulan tersebut? 

Bagi pinjaman konvensional, faedah akan terus dikenakan ke atas baki tertunggak yang merangkumi pinjaman pokok dan faedah (iaitu terkompaun) semasa tempoh moratorium. Bagi pembiayaan Islam, keuntungan akan terus terakru pada jumlah pokok yang belum dijelaskan.

Namun begitu, keuntungan tersebut tidak akan dikompaun selaras dengan prinsip Syariah.

Walau bagaimanapun, bank-bank tidak dibenarkan mengenakan bayaran penalti lewat atas jumlah tertunda. Dalam erti kata lain, bayaran balik pinjaman/pembiayaan hanya tertangguh selama enam bulan.

13. Apakah yang akan terjadi kepada pembayaran balik pinjaman saya selepas tempoh pakej penangguhan? 

Faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan. Hal ini bermakna jumlah bayaran balik yang terkumpul semasa tempoh penangguhan pembayaran balik akan ditambah kepada jumlah pinjaman/pembiayaan terkumpul.

14 .Bagaimanakah pakej penangguhan mempengaruhi pembayaran faedah yang dikenakan ke atas saya selepas tempoh 6 bulan? Adakah berlaku peningkatan dalam bayaran bulanan, atau tempoh akan menjadi lebih lama? 

Peminjam/pelanggan dinasihati supaya menghubungi institusi perbankan mereka bagi membincangkan pelan pembayaran balik yang sesuai untuk membayar balik pinjaman pokok dan faedah terakru semasa tempoh penangguhan. Ini mungkin termasuk jumlah ansuran berikutnya yang lebih tinggi atau lanjutan tempoh pinjaman / pembiayaan.

15. Adakah pakej penangguhan ini dikenakan kepada pinjaman yang baru diluluskan / dikeluarkan? 

Pakej penangguhan terpakai kepada semua pinjaman/pembiayaan yang belum dijelaskan setakat 1 April 2020

16. Adakah pinjaman saya melalui pembekal kredit bukan bank lain layak untuk mendapatkan pakej penangguhan ini? 

Tidak. Pakej penangguhan ini hanya terpakai kepada pinjaman atau pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, iaitu bank dan institusi kewangan pembangunan.

17. Sekiranya syarikat memilih pakej penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan, adakah syarikat tersebut masih boleh mendapatkan pembiayaan baharu daripada bank? 

Ya. Keputusan kredit institusi kewangan adalah tertakluk pada dasar dan penilaian kredit dalaman masing-masing. 19. Sebagai sebuah syarikat, apakah kriteria yang perlu ada bagi memilih untuk menyertai pakej ini?

Tidak seperti peminjam/pelanggan individu dan PKS, peminjam/pelanggan dalam kalangan syarikat korporat perlu merujuk bank masing-masing untuk penangguhan serta penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman/pembiayaan mereka.

Di samping itu, pinjaman/pembiayaan ini mesti memenuhi kriteria yang berikut:
• tidak tertunggak melebihi 90 hari setakat 1 April 2020; dan
• dalam denominasi Ringgit Malaysia.

18. Saya mempunyai pinjaman/ pembiayaan yang dipotong secara automatik daripada gaji saya. Adakah saya layak memohon tawaran penangguhan ini? 

Ya. Sila beritahu syarikat anda untuk menghentikan potongan gaji jika anda mahu pembayaran balik pinjaman/pembiayaan anda ditangguhkan. Anda juga perlu menghubungi bank anda untuk memberitahu mereka tentang hal ini.

19. Adakah bank akan memberhentikan keperluan pembayaran balik secara automatik jika saya tidak menjawab pemberitahuan mereka? 

Ya. Penukaran Baki Kad Kredit ke dalam Pinjaman Bertempoh 3-Tahun (Pakej Penukaran)

20. Saya mempunyai dua kad kredit dengan jumlah yang besar, dan saya diberhentikan kerja pada bulan Januari. Saya tidak dapat memenuhi obligasi bulanan kad kredit saya sejak Januari dan saya sangat risau tentang akibatnya. Adakah saya layak untuk menukar baki tertunggak ini kepada pinjaman bertempoh? Bagaimanakah keadaan ini boleh dilaksanakan? Adakah saya perlu menghubungi bank saya untuk membuat permohonan?

Jika anda tidak dapat memenuhi pembayaran bulanan minimum kad kredit anda selama 3 bulan terakhir berturut-turut, pengeluar kad anda akan menukarkan baki tertunggak kepada pinjaman bertempoh yang tidak lebih 3 tahun dengan faedah efektif tidak lebih daripada/pembiayaan 13% setahun.

21. Saya dengar kini bank-bank akan menyediakan penukaran baki kad kredit secara automatik kepada pinjaman bertempoh, tetapi saya mempunyai gaji bulanan kira-kira RM5,500. Adakah saya layak mendapat pakej penukaran ini daripada bank? 

Bank akan menukarkan baki kad kredit terkumpul pemegang kad yang tidak dapat memenuhi pembayaran bulanan minimum berturut-turut selama 3 bulan terakhir, tanpa mengira tahap pendapatan pemegang kad.

22. Bolehkah pemegang kad kredit yang telah menukar baki kad mereka ke dalam pinjaman bertempoh terus memohon untuk mendapatkan 6 bulan penangguhan pakej pinjaman atau pembiayaan? 

Ya mereka boleh berbuat demikian. Pembayaran balik pinjaman/pembiayaan akan disambung semula selepas tempoh penangguhan.

23. Jika baki kad kredit saya ditukar kepada pinjaman bertempoh, adakah saya masih boleh menggunakan kad kredit saya? 

Ya, Anda boleh terus menggunakan kad kredit sehingga had kredit yang masih ada setelah mengambil kira baki yang diubah menjadi pinjaman/pembiayaan bertempoh. Baki tertunggak yang ditukar kepada pinjaman/pembiayaan bertempoh dianggap sebagai sebahagian daripada had kad kredit.

Di samping itu, bayaran ansuran pinjaman/pembiayaan bulanan akan menjadi sebahagian daripada jumlah pembayaran bulanan minimum kad kredit tersebut.

Nota: Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang inisiatif ini, sila hubungi bank anda terlebih dahulu. Jika anda masih memerlukan maklumat lanjut tentang perkara ini, anda boleh lawati laman sesawang kami di www.bnm.gov.my atau hubungi TELELINK di talian 1-300-88-5465 (Isnin – Jumaat, 9.00 pagi hingga 5 petang).

*Disediakan oleh Bank Negara Malaysia


Tiada ulasan: