MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 27 Mac 2020
‘Ta ya alif dal alif, tiada, susah sangat ke doktor nak faham?'
MALAYSIAKINI
"Kejujuran
pesakit sangat berharga bagi kami," itulah kata-kata tegas yang
pastinya terbit dari sudut hati penuh pengharapan seorang doktor
perubatan, dan mereka yang berada di saf paling hadapan dalam usaha
merawat pesakit yang dijangkiti wabak Covid-19.
Tampil meluahkan
rasa kesal, Dr Ahmad Samhan mendedahkan betapa kakitangan perubatan juga
terdedah dengan jangkitan virus yang sedang dibendung kini.
Menulis
di Facebook hari ini, beliau menceritakan bagaimana terdapat pesakit
yang sanggup menipu apabila ditanya mengenai sejarah kontak rapat dengan
mana-mana kluster pesakit Covid-19.
Kisah
yang diceritakan oleh kawannya itu juga menunjukkan betapa golongan
pengamal perubatan begitu terdedah dengan jangkitan Covid-19 ketika
menjalankan tugas.
Menurutnya, ada pesakit yang tidak
mengaku mempunyai kontak apabila hadir sesi saringan walaupun hasil
pemeriksaan memberi gambaran pesakit itu mengalami kesan teruk
“Saya
tengok hasil X-ray dada encik teruk. Betul ke encik tak ada kontak
rapat dengan jemaah Tabligh atau pesakit positif covid-19?” Entah kali
ke berapa agaknya dia ditanya soalan yang sama oleh doktor.
"Namun pesakit itu tidak mengaku, malah menegaskan perkataan 'tiada' dengan ejaan Jawi.
“Betul doktor, berapa kali saya nak jawab. Ta ya alif dal alif. Tiada. Susah sangat ke doktor nak faham jawapan saya?”
Dr Ahmad Samhan
Bagaimanapun
selepas dirujuk kepada doktor pakar, pesakit tersebut juga menegaskan
perkara sama iaitu 'tiada' kontak rapat dengan mana-mana individu yang
positif Covid-19.
10 doktor, misi, staf kesihatan kena saring
Dr
Ahmad berkata, doktor pakar kemudianya akur dan pesakit itu dimasukkan
di wad biasa untuk jangkitan pneumonia (jangkitan paru-paru).
Katanya,
doktor yang merawat pesakit tersebut kemudiannya diberitahu supaya
menjalani saringan Covid-19 susulan pesakit itu sebenarnya positif.
"Terduduk,
tercengan, kelu. Akhirnya barulah dia mengaku pernah ada kontak rapat
dengan jemaah Tabligh di satu majlis perkahwinan.
"Yang lagi
menyedihkan, ketika dalam wad biasa beliau telah menyebabkan pesakit di
sebelah dijangkiti. Lebih teruk bila pesakit yang dijangkiti itu perlu
diintubasi dan masuk ke ICU (unit rawatan rapi).
"Lebih 10 orang doktor, misi dan staf kesihatan lain turut terdedah dan perlu menjalani saringan. Dah terlambat," tulisnya.
Dr Ahmad berkata, kisah itu diceritakan oleh salah seorang sahabatnya yang dikuarantin beberapa hari lepas.
"Adakah
kebohongan itu dapat menjanjikan nyaman pada perasaan? Kejujuran
pesakit sangat berharga bagi kami. Andai dijual, kami sanggup membeli.
"Kami barisan frontliner berjanji sepenuh hati yang kami akan terus bekerja dan merawat pesakit lain.
“Tidak
ada agama yang menggalakkan berbohong dan masalah lebih cepat
diselesaikan jika kita jujur dalam tindakan," tegasnya yang bertugas di
Hospital Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan