HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Mac 2020

COVID-19: Menara One City lokasi ketiga diarah PKPD

tyrazalhe

 

3,200 penghuni tidak dibenarkan keluar mulai esok hingga 13 April

BANGI – Kerajaan memutuskan untuk melaksana arahan ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas Menara City One, Kuala Lumpur susulan terdapat 17 kes positif COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah yang berkuatkuasa mulai 31 Mac hingga 13 April itu membabitkan 3,200 orang penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di menara berkenaan.

Beliau berkata, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar, sekali gus akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit sepanjang tempoh 14 hari.

“Dengan pelaksanaan perintah ini, semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua aktiviti perniagaan juga dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan penghuni boleh membuat pesanan makan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama menara.

“Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan PKPD. Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.

Bagi pelaksanaan perintah itu, Ismail Sabri meminta semua penghuni bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas daripada KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubung talian khas 03-26943243/ 03-40267222 atau 013-3295141,” katanya.


Tiada ulasan: