HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Mac 2020

Tengku Zafrul: Ini masa kita tunjuk kebolehan bantu rakyat

 
Malaysiakini
 
 
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) akan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Jelasnya, pelaksanaan yang cepat dan tepat penting bagi memastikan pakej rangsangan ekonomi itu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang kini berdepan kesan wabak Covid-19.

"Kita kena pantau keberkesanan pakej Prihatin. (Ia kena) cepat dan juga tepat.

"Kalau pelaksanaan itu tidak bagus atau tidak efektif, maka apa yang dirancangkan dalam pakej Prihatin ini tidak akan berjaya," katanya dalam wawancara bertajuk Analisis Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bersama Astro Awani sebentar tadi.

Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa pasukannya di Kementerian Kewangan mempunyai kebolehan yang diperlukan bagi tujuan itu.

"Pengalaman saya dari (latar belakang) swasta, dan kini baru menyertai perkhidmatan awam, cara rakan saya di Kementerian Kewangan bertungkus-lumus untuk mendraf pakej prihatin tak ada beza.

"Mereka kerja siang malam untuk bentuk pakej ini untuk pulihkan ekonomi dan tolong rakyat.

"Teman-teman saya di kabinet, penjawat awam, ini masa untuk kita tunjuk apa yang kita boleh buat untuk tolong rakyat Malaysia," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Sementara itu, Tengku Zahfrul juga berkata bahawa Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) akan memantau pelaksanaan pakej berkenaan.

Jelasnya, kerajaan mempunyai cara tersendiri untuk memastikan bantuan itu sampai kepada golongan yang disasarkan termasuk di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses internet.

"Memang ada macam cara-cara yang lain (untuk mendekati kawasan pedalaman). Tapi, daripada database kita, lebih kurang 90 peratus, memang ada akaun (bank).

"Jadi, itu akan membantu kita salurkan duit ini kepada rakyat," katanya.

Presiden EMIR Research Rais Hussin turut berkongsi pandangan sama dengan mengatakan bahawa kerajaan mempunyai sistem sedia ada untuk sampaikan bantuan berkenaan kepada golongan yang disasarkan.

Rais, yang juga merupakan pemimpin Bersatu memuji pakej rangsangan ekonomi itu sebagai komprehensif dan menekankan bahawa keutamaan ketika ini adalah "memasukkan wang ke dalam poket rakyat".

Tiada ulasan: