HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2020

806 jemaah tabligh dipindah ke stesen kuarantin, kata Annuar

Sebelum ini jemaah yang menghadiri ijtimak pada 28 Feb hingga 
2 Mac di Masjid Sri Petaling menjalani kuarantin di masjid tersebut.
 
PETALING JAYA: Seramai 806 jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling sudah dipindahkan ke stesen kuarantin, selepas diputuskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga berkata jemaah yang didapati tidak mempunyai simptom Covid-19 dikuarantin di 2 lokasi yang ditetapkan iaitu di Institut Sosial Malaysia dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seramai 3/4 yang berada di masjid itu kita akan letakkan di pusat kuarantin. Di situ, mereka akan diberikan kemudahan makan dan minum, penjagaan kesihatan untuk tempoh yang ditetapkan sebelum mereka dibenarkan untuk balik ke kampung atau rumah masing-masing,” katanya di Facebook, hari ini.

Pada Ahad, Annuar memberitahu terdapat 11 stesen kuarantin di sekitar Wilayah Persekutuan termasuk di Labuan akan mula digunakan pada Isnin ini, bagi menghadapi wabak Covid-19.

Menurutnya, KKM dan Nadma akan mengaturkan perpindahan jemaah tabligh yang sedang dikuarantin di Masjid Sri Petaling.

Terdahulu, Putrajaya bertindak mewartakan 409 lokasi di seluruh negara sebagai stesen kuarantin bagi menghadapi wabak Covid-19. Pewartaan dibuat Menteri Kesihatan Dr Adham Baba selaras dengan Seksyen 2, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Annuar berkata, bagi pemindahan fasa pertama, seramai 132 pelajar tahfiz yang berada berhampiran dengan masjid berkenaan dan 104 petugas daripada pelbagai agensi terlibat sudah dipindahkan ke Institut Sosial Malaysia sejak semalam.

“Ia menambahkan sedikit kerja kita, daripada mereka duduk setempat terpaksa kita letakkan di 2 atau 3 tempat. Tetapi demi untuk keselamatan dan menyempurnakan misi kawalan wabak ini, kita terpaksa lakukan,” katanya.

Annuar turut merayu semua jemaah yang menghadiri ijtimak pada 28 Feb hingga 2 Mac di Masjid Sri Petaling membuat pemeriksaan kesihatan, tidak kiralah jemaah warga Malaysia, pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) atau pekerja asing tidak berdaftar.

“Jangan takut, silalah datang ke hadapan. Tidak kiralah anda ada simptom atau tidak, jika tidak ada sila hadir untuk buat ujian. Dengan berbuat demikian kita boleh kawal penyebaran, kerjasama dari anda semua ini adalah mustahak.

Tiada ulasan: