HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Mac 2020

Covid-19 ibarat cinta buta, kata pesakit hampir sembuh

Dentonel Misa ketika dikuarantin di Hospital Tumpat, Kelantan 
kerana Covid-19.

KUCHING: Pekerja luar pesisir, Dentonel Misa yang tidak tahu di mana, bila atau bagaimana beliau dijangkiti Covid-19, tetapi kini hampir sembuh, menasihatkan orang ramai tidak keluar rumah kerana virus itu tidak mengenal mangsanya.

“Ia mungkin di lapangan terbang, dalam penerbangan, di hotel atau di mana saja,” kata pemuda berusia 37 tahun yang berasal dari Sarawak itu kepada FMT.

“Covid-19 seperti cinta buta. Sesiapa saja boleh dijangkiti.”

Misa yang bekerja di Kelantan, berkata beliau mula mengalami demam panas pada 1 Mac lalu dengan suhu badan meningkat antara 38 hingga 39 darjah Celsius.

“Saya menggigil dan berpeluh serta tiada selera makan.

“Pada 3 Mac, saya ambil keputusan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta dan meminta diuji untuk Covid-19, tetapi malangnya hospital swasta itu tidak mempunyai kit ujian untuk virus berkenaan.

“Kakitangan perubatan hanya membuat ujian darah dan memberitahu saya tidak memenuhi kriteria seperti mereka yang dijangkiti virus itu,” katanya sambil menambah beliau tidak mengunjungi mana-mana negara yang terjejas akibat Covid-19.

Misa yang diberikan Panadol dan ubat antibiotik, kembali bertugas pada 5 Mac lalu, tetapi beliau mengalami demam semula.

“Pada 7 Mac lalu, saya mengalami batuk kering dan menjelang 9 Mac, saya kehabisan ubat. Saya mula rasa lemah dan mengalami kesukaran bernafas.

“Saya rasa sangat sejuk dan terpaksa tidur dalam tandas di klinik tempat kerja saya kerana itu satu-satunya tempat tiada penghawa dingin.”

Misa terpaksa diterbangkan dari pelantar minyak, tempat kerjanya pada hari sama. Beliau dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan dimasukkan ke wad selama 4 hari.

Beliau dirawat untuk jangkitan paru-paru di wad biasa dan dibenarkan pulang pada 13 Mac lalu.

“Demam saya kebah dan saya hanya batuk ringan,” katanya sambil menambah beliau belum disahkan positif virus itu kerana kakitangan hospital bertegas beliau tidak memenuhi kriteria Covid-19.

Bagaimanapun, pada 17 Mac, beliau mengambil keputusan menjalani ujian kesihatan di hospital swasta lain.

“Ujian pertama negatif, namun ujian ke-2 didapati positif 2 hari kemudian.”

Misa dikuarantin di Hospital Tumpat, Kelantan di mana beliau akan terus dirawat di sana sehingga ujian seterusnya yang dijadualkan Rabu depan.

Walaupun virus itu masih dalam tubuhnya, beliau kini berasa lebih sihat.

“Saya tidak lagi perlu mengambil sebarang ubat dan tak perlukan bantuan pernafasan. Malah, saya boleh lakukan senaman ringan.”

Beliau berkata, proses pemulihan bergantung kepada pesakit kerana tiada ubat atau vaksin untuk merawat jangkitan virus itu.

Misa turut menggesa orang ramai mematuhi arahan kerajaan supaya duduk di rumah.

“Nasihat saya kepada semua orang ialah mengambil serius arahan kerajaan dan mencegah virus itu daripada terus merebak.”

Tiada ulasan: