Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pakej Prihatin itu bertujuan membantu meringankan bebanan rakyat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
“Pengumuman Pakej Prihatin RM250 bilion ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan rakyat berikutan PKP dan PKPD yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Ahmad Zahid berkata, menjadi tanggungjawab kepada rakan di pihak pembangkang memberikan kerjasama dan dokongan kepada kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Beliau berharap, rakan Pakatan Harapan (PH) tidak mempolitikkan setiap usaha yang dilakukan kerajaan.
Beliau bagaimanapun berkata, bagi memastikan Pakej Prihatin itu mencapai objektifnya, ada beberapa penambahbaikan perlu menjadi pertimbangan kerajaan.
“Antaranya, kaedah dan mekanisme agihan serta penyaluran bantuan setiap kementerian dan agensi terlibat perlu jelas dan terperinci bagi memudahkan rakyat berurusan.
“Database yang dimiliki oleh kerajaan berkaitan dengan penerima yang layak dan kategorinya perlu dipastikan benar-benar tepat dan terkini memandangkan jumlah penerima pada kali ini amat besar berbanding pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini menerusi pemberian BRIM dan BSH.
“Mengurangkan rintangan birokrasi ketika permohonan agar segenap lapisan rakyat dapat menerima bantuan yang disalurkan kerajaan tanpa perlu dibebankan dengan rintangan birokrasi yang menyusahkan mereka,” katanya.
Ahmad Zahid juga berharap rakyat tenang dan tabah menghadapi dugaan itu dengan sama-sama berdoa semoga pandemik Covid-19 berakhir dengan segera. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan