Ia sebagai sebahagian langkah membantu orang ramai menangani impak kewangan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19.
“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4% yang berkuatkuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.
“Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang- barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini.
“Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga.
“Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing,” kata Muhyiddin.
Banyak pihak memuji keputusan kerajaan ini.
Ia dianggap langkah permulaan yang sangat berkesan bagi meringankan beban hampir 12 juta pencarumnya dalam menghadapi penularan wabak COVID-19.
Antaranya pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Beliau berkata, perkara itu dapat dimanfaatkan masyarakat bagi mendapatkan barang keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini memandangkan kadar belanja isi rumah juga mungkin bertambah akibat kawalan perjalanan.
“Inisiatif itu sangat membantu, misalnya kalau ada dua orang dalam rumah, seorang berbelanja RM10 sehari, kalau dua orang mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM280 dalam tempoh dua minggu.
“Jadi kalau boleh dikeluarkan RM500 sebulan saya rasa ia sangat mencukupi, ia bukan sahaja bagi keperluan makanan tapi mungkin juga untuk bayaran utiliti dan sebagainya,” katanya yang dipetik dari Bernama semalam.
Langkah itu juga dipersetujui Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang merasakan ia akan dapat membantu rakyat yang berada dalam kategori pendapatan rendah.
Katanya ia akan juga membantu ahli KWSP yang tidak aktif, yang mana sebahagian mungkin mempunyai akaun dengan dana pencen itu tetapi akaun tidak aktif.
“Langkah itu adalah wajar kerana ia akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka walaupun seketika kerana skim pengeluaran itu hanya satu langkah sementara.
“Tambahan tunai itu boleh digunakan bagi keperluan asas seperti makanan, bil utiliti dan membayar sewa.
“Ia boleh membantu meningkatkan penggunaan kerana kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan cenderung mempunyai Kecenderungan Mengguna Marginal (MPC) yang tinggi,” katanya pada Bernama.
MPC adalah metrik yang mengukur penggunaan teraruh.
Namun dalam perkembangan yang sama, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) nampaknya tidak menunggu lama untuk mengkritik langkah tersebut.
Setiausaha agungnya, J Solomon berkata, langkah itu akan menyebabkan kerugian dividen tahunan dan mengurangkan jumlah simpanan jangka panjang pekerja.
Solomon berkata, dengan mengambil langkah itu, kerajaan membenarkan pekerja mengeluarkan wang simpanan masa tua.
“Ini bukan perkara yang bermoral. Ia seperti ‘merompak’ simpanan sendiri, berikutan kegagalan kerajaan melindungi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Wah….nampaknya keputusan kerajaan semalam ada pro dan kontranya.
Justeru kita pula bagaimana?
Apakata kita ambil jalan tengah, keluarkan caruman kalau rasa ada keperluan untuk berbuat demikian tetapi ‘menahan diri’ sekiranya tidak perlu.
Jangan salah sangka, kerajaan tak pun wajibkan untuk mengeluarkan caruman ini namun ia adalah antara langkah untuk meringankan beban.
Lagipun kena ingat, KWSP ditubuhkan kerana nak membantu tenaga kerja di negara ini untuk menabung demi persaraan kita semua kelak.
Ia merupakan antara tabung simpanan persaraan tertua dan yang terbesar di dunia.
Kehadiran mereka untuk mencipta persaraan yang lebih baik untuk kita semua ahlinya.
Tetapi janganlah pula ambil peluang yang kerajaan beri ini untuk keluarkan caruman dengan alasan ‘ini duit aku’ walaupun kita sebenarnya masih mampu dari segi kewangan.
Kalau dah memang tak mampu dan perlukan wang RM500 sebulan itu, pergilah keluarkan, tak siapa larang.
Kena ingat ye, kajian mendapati HANYA 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum aktif (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang mencukupi sebanyak RM196,800 atau lebih untuk menampung kehidupan mereka dalam tempoh persaraan.
Sebanyak 78 peratus pencarum lagi TIDAK mempunyai asas caruman mencukupi untuk tempoh persaraan mereka.
Daripada 6.7 juta pencarum KWSP yang aktif, 65 peratus daripada mereka mempunyai KURANG daripada RM50,000 dalam simpanan.
Ia pernah didedahkan sendiri oleh Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP, Balqais Yusoff dalam satu temubual media kira- kira tiga tahun lepas.
“Jadi, ini bermakna, berdasarkan definisi kami, di mana pesara akan memerlukan sekurang-kurangnya RM820 sebulan dalam tahun-tahun persaraan, mereka yang mempunyai simpanan RM50,000 hanya boleh bertahan selama lima tahun sebelum simpanan mereka kehabisan.
“Itupun jika mereka boleh bertahan hidup dengan RM820 sebulan. Kita tahu RM820 itu tidak cukup, di mana dengan jumlah itu hari ini, mungkin anda boleh berbelanja untuk barangan runcit dan itulah realiti kehidupan hari ini,” katanya.
Balqais berkata, jumlah simpanan asas RM196,800 untuk persaraan dikira sebagai RM820 sebulan.
Katanya, struktur gaji yang rendah di negara ini adalah penyumbang utama kepada keadaan itu, di mana 89 peratus daripada penduduk yang bekerja mendapat kurang daripada RM5,000 yang diterjemahkan kepada kadar simpanan yang lebih rendah untuk KWSP.
Apapun, akhir kata terserahlah pada kita semua sama ada nak lihat pengumuman kerajaan membenarkan pengeluaran akaun 2 ini sebagai ‘rahmat’ atau sebaliknya.
Tepuk dada, tanya selera! – Malaysia Gazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan