HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Mac 2020

Kes Covid-19 dijangka cecah 6,000, tapi KKM dalam usaha kurangkannya

 
Malaysiakini
 
 
Kementerian Kesihatan menjangka peningkatan kes positif Covid-19 menjelang bulan depan, tetapi berharap langkah yang sedang diambil pada masa ini untuk membendung penularan wabak akan dapat menghalangnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan pemerhatian kementerian dan laporan oleh badan penyelidik JP Morgan, Malaysia mungkin merekodkan jumlah kes melebihi 6,000 pada pertengahan April.

"Tetapi kita telah laksana kegiatan kesihatan awam dan juga dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), kita harap dapat mengesan kes-kes positif untuk diasingkan dan diberi rawatan.

"Diharap dengan tindakan kita, dapat kurangkan kes (daripada mencecah 6,000).
"Inilah sasaran kita, untuk melandaikan graf (peningkatan kes)," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau menjawab soalan sama ada Kementerian kesihatan menjangka bilangan kes Covid-19 akan berkurang dengan lanjutan PKP kepada 14 April ini, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Noor Hisham berkata lagi, amat penting untuk melandaikan graf jangkitan wabak tersebut agar perkhidmatan kesihatan dapat menampung kes-kes yang ada.

Lebih 5,200 katil tersedia

"Setakat ini kita berjaya sediakan 3,400 katil hospital, dan sasaran kita dapat sediakan 300 Unit Rawatan Rapi (ICU) dan ventilator.

"Kementerian juga berjaya tambah 1,892 katil lagi di institut kesihatan, untuk menempatkan kes-kes tiada gejala tetapi positif Covid-19, atau yang menunjukkan gejala ringan.

"Dengan ini kita boleh sediakan katil di hospital untuk kes yang lebih serius. Secara keseluruhan, ada 5,292 katil tersedia," katanya.

Berkenaan jumlah ventilator, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan setakat ini mempunyai 526 unit yang berfungsi, dan merancang untuk meningkatkan bilangan itu kepada 800 unit di seluruh negara, dengan 500 daripadanya khusus untuk kes Covid-19.

Untuk itu, Noor Hisham berkata pihaknya telah menempah 229 unit lagi, dengan 54 daripadanya sudah diterima hospital dan baki dijangka sampai pada minggu pertama April.

Sejumlah 60 ventilator lagi dipinjam daripada institusi perubatan swasta bagi mendepani peningkatan kes Covid-19

Beliau berkata, pesakit Covid-19 mempunyai peluang yang baik untuk sembuh jika mendapat rawatan yang betul mengikut masanya.

"Ia ditunjukkan dengan pengurangan pesakit Covid-19 di ICU, yang telah turun kepada 45 kes tengah hari ini, berbanding 64 kes semalam," katanya.

Jangkaan 16,000 ujian sehari

Sementara itu, berkenaan rancangan kementerian untuk meningkatkan jumlah ujian Covid-19, Noor Hisham berkata mereka sedang mengkaji rapid test kit (RTK) yang mengesan antigen dalam tubuh manusia yang dijangkiti virus itu.

Antigen merupakan molekul yang mampu merangsang tindak balas imun dalam tubuh.

Katanya, Kementerian Kesihatan berharap dapat menggunakan kit tersebut, yang mampu menunjukkan keputusan dengan cepat, agar ujian secara massa dapat dijalankan untuk mengesan kes positif di negara ini dengan cepat.

"Jumaat ini kita akan dapat melihat kemampuan RTK ini untuk antigen. Buat masa sekarang, kita ada 18 makmal kementerian, ditambah dengan lima makmal swasta, yang dapat membuat ujian terhadap 6,000 sampel sehari.

"Minggu depan, kita menjangka boleh tingkatkan kapasiti kepada 16,000 sampel sehari. Ini tanpa RTK.

"Jika keberkesanan RTK disahkan, maka kita boleh gunakannya untuk kesan (kes positif) lebih cepat dan tepat," katanya lagi.

Institut Penyelidikan Perubatan sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan kit itu dalam jumlah yang banyak, katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan RTK tersebut berbeza dengan apa yang dijual secara meluas kepada orang awam pada masa ini, yang mengesan antibodi dan bukannya antigen.

Semalam, Noor Hisham mengingatkan orang ramai untuk berwaspada berkenaan kit ujian Covid-19 yang boleh dibeli di pasaran.

Katanya, kebanyakan ujian yang dijual adalah RTK yang mengesan kewujudan antibodi Covid 19, bukannya virus itu sendiri.

Tiada ulasan: