Azlina Rosdy
KUALA
LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan
berkata, walaupun faktor keselamatan amat penting di kala negara
menangani wabak pandemik COVID-19 namun kerajaan harus turut memandang
serius kesan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap para peniaga
perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Jelas beliau, sebagai contoh peniaga bazar Ramadan yang pastinya akan terjejas teruk akibat daripada PKP ini.
“Kesan ekonomi peniaga bazar Ramadan amat besar, mungkin mereka berniaga
sepanjang tahun tapi bulan Ramadan adalah bulan di mana aliran tunai
paling besar. Disebabkan COVID-19 ini keberangkalian ekonomi mereka
turun atau menjadi sifar.
“Ini bukan krisis biasa bermakna langkah yang perlu dipertimbangkan
termasuklah tidak membenarkan bazar Ramadan dan kita harap mereka boleh
memahami keadaan ini. Sudah pasti ini akan memberi kesan kepada peniaga
PKS maka kerajaan juga perlu ada satu suntikan untuk membantu kebajikan
dan pendapatan peniaga kecil ini.
“Kita tidak boleh kata ini kecemasan dan tidak boleh buka bazar dan
kita biar begitu sahaja. Kerajaan perlu lebih bijaksana dan lebih
berkebajikan dalam mengurus perkara ini sama ada memberi bantuan secara
langsung ataupun melalui e-bazar seperti yang dicadangkan,” ujar beliau
ketika menjadi tetamu jemputan dalam satu program anjuran sebuah stesen
televisyen swasta, hari ini.
Tambah Shahril, kerajaan perlu mewujudkan bantuan khusus untuk
membantu para peniaga PKS dan tidak salah memberi keutamaan untuk
memberi suntikan ekonomi kepada para peniaga ini dan bukannya kepada
peniaga tokoh koporat.
“Kalau kerajaan boleh meletak RM50 bilion untuk dana jamin pinjaman
syarikat besar, apa salahnya sedikit diberikan kepada kes seperti ini.
Kalau krisis ini berlanjutan sehingga raya maka cerita ini akan menjadi
lebih besar kerana golongan peniaga kecil ini akan lebih terdedah
terjejas ekonominya.
“Selain itu, kerajaan juga boleh menambah baik pakej rangsangan
ekonomi yang diumumkan, contohnya kerajaan perlu mengeluarkan satu dasar
untuk memastikan moratorium hutang ini sampai kepada peniaga PKS.
“Kita perlu sedar bukan semua peniaga PKS pemilik bangunan,
kebanyakan mereka adalah menyewa, pemilik kedai tidak perlu lagi
membayar hutang bank selama enam bulan tetapi mereka masih mengambil
sewa dari penyewa dan inilah antara perkara yang boleh dibahaskan,”
jelas beliau lagi yang begitu prihatin terhadap rakyat ekorannkesan
COVID-19. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan