HALAMAN SANTAI
Isnin, 20 April 2020
KKM akan mulakan kajian klinikal Covid-19
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memulakan kajian klinikal dengan, bagi menguji pelbagai ubat untuk merawat pesakit Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan memulakan kajian klinikal untuk menguji keberkesanan dan keselamatan Remdesivir, ubat yang awalnya dikembangkan untuk pesakit Ebola, bagi merawat pesakit Covid-19.
Beliau berkata ia adalah sebahagian dari “Kaji selidik Solidariti” (Solidarity Trial) dengan WHO, dalam usaha untuk menguji kombinasi ubat-ubatan bagi merawat Covid-19.
"Kaji selidik yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha pengumpulan data dan perbandingan keselamatan serta keberkesanan empat regimen rawatan menggunakan kombinasi Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon Beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Lopinavir dan Ritonavir pada awalnya dikembangkan untuk merawat pesakit AIDS sementara Interferon Beta digunakan untuk merawat multiple sclerosis.
Chloroquine dan Hydroxychloroquine pula adalah ubat anti-malaria.
Noor Hisham berkata protokol kaji selidik telah diluluskan untuk membolehkan kajian klinikal dimulakan.
"Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (Medical Research and Ethics Committee, MREC) telah bekerjasama rapat dengan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM yang bertindak sebagai badan regulatori yang bertanggungjawab meluluskan penggunaan ubat tersebut dalam kajian klinikal ini.
"Penilaian telah dibuat berdasarkan tiga aspek utama merangkumi aspek keselamatan, kualiti dan keberkesanan awal ubat tersebut berdasarkan data-data yang telah dikemukakan.
"Menyedari kepentingan kajian klinikal ini dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, MREC dan NPRA telah berjaya meluluskan protokol penyelidikan dan lesen import kajian klinikal (Clinical Trial Import Licence) bagi ubat Remdesivir ini dalam tempoh yang singkat iaitu empat hari berkerja, namun pada masa yang sama dapat mengekalkan kualiti penilaian berdasarkan prosedur dan keperluan regulatori antarabangsa," katanya.
Jelas Noor Hisham, sembilan hospital akan terlibat dalam kajian itu.
Katanya, hospital-hospital berkenaan kini sudah bersedia untuk memulakan pengambilan peserta kajian di kalangan pesakit Covid-19 yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Penyertaan Malaysia dalam kajiselidik sedunia ini dijangka dapat membantu dalam pencarian ubat menyelamatkan nyawa untuk Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan