Peguam
Haniff Khaitri Abdulla memuji Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli
Omar kerana membangkitkan kebimbangan berkenaan keadaaan penjara yang
sesak, dengan ratusan telah dihukum penjara setakat ini kerana melanggar
perintah kawalan pergerakan (PKP).
Terdahulu hari ini, Zulkifli mencadangkan agar mereka yang melanggar perintah itu dikenakan hukuman menjalankan khidmat masyarakat.
Ketua
Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata pihak berkuasa
mungkin tidak dapat berbuat demikian kerana tiada khidmat masyarakat
boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP.
Bagaimanapun Haniff berkata
cadangan Zulkifli masih boleh dibuat dengan membenarkan mereka yang
dihukum bersalah menjalankan khidmat masyarakat selepas PKP tamat.
"PKP
dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan awam. Satu tindakan betul
untuk menghukum mereka yang melanggarnya dengan kerja khidmat masyarakat
seperti membersihkan rumah anak yatim, pustaka awam dan rumah orang
tua," katanya kepada Malaysiakini.
Haniff berkata, pelanggaran PKP
adalah satu kes yang mudah dan penguatkuasa yang menangkap individu
yang melanggarnya boleh terus mengambil keterangan dan memberikan ikat
jamin polis kepada mereka, sementara menunggu pendakwaan atau siasatan
seterusnya.
"Ia bukan kes bunuh atau rogol di mana polis perlu
menahan suspek dan menjalankan siasatan, serta mencari senjata
pembunuhan atau bukti DNA.
"Langkah menahan mereka yang melanggar
PKP juga akan menjadikan lokap polis sesak dan membawa risiko
(jangkitan) kepada tahanan lain dan anggota polis," katanya.
Dalam
surat kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd
Salleh, Zulkifli berkata langkah memenjarakan pesalah PKP membawa
risiko jangkitan wabak Covid-19 kepada banduan lain dan pegawai penjara.
Beliau berkata seramai 378 orang telah dipenjara kerana melanggar PKP, setakat 1 April lalu.
"Selain
menambah kesesakan sedia ada, Jabatan Penjara juga bimbang jika mereka
boleh menjadi punca penularan wabak Covid 19 di dalam penjara kerana
status kesihatan mereka yang tidak diketahui.
"Jabatan Penjara
juga berpendapat bahawa adalah satu masalah besar jika berlaku penularan
Wabak Covid 19 di penjara kerana selain penjarakkan sosial (social
distancing) yang mustahil dapat dilakukan penjara juga bakal menjadi
tempat penularan wabak Covid 19 yang tidak terkawal dan boleh mengancam
nyawa banduan mahu pun kakitangan," kata Zulkifli lagi.
Haniff setuju dengan kenyataan Zulkifli tetapi berkata cadangan itu sepatutnya dibawa ke Pejabat Peguam Negara.
Katanya, ini kerana ketua hakim tiada kuasa untuk memberitahu hakim tentang hukuman yang harus diberikan.
Katanya lagi, timbalan pendakwa raya juga berperanan dalam mencadangkan hukuman kepada majistret.
Selain
itu, Haniff berkata hukuman yang diberikan juga perlu mengambil kira
tahap kesalahan serta keadaan pesalah, seperti misalnya dia merupakan
golongan berpendapatan rendah.
PKP
berkuatkuasa sejak 18 Mac hingga 14 April ini. Hari ini Ketua Pengarah
Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan menyediakan data
pada 10 April ini bagi membantu kerajaan membuat keputusan sama ada PKP perlu dilanjutkan.
Sepanjang
tempoh PKP, semua perkhidmatan dan perniagaan dalam kategori "tidak
penting" tidak boleh beroperasi dan orang awam hanya dibenarkan keluar
rumah untuk urusan penting, misalnya membeli bekalan makanan.
Bagaimanapun tetap ada yang melanggar perintah itu dengan keluar atas tujuan lain.
Pada
tahap awal PKP, kerajaan menggunakan pendekatan nasihat tetapi kini
dilihat lebih tegas dengan menangkap dan mendakwa mereka yang
melanggarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan