Menteri Pertahanan Ismail Sabri berkata, Putrajaya memahami keluh kesah peniaga di seluruh negara yang terpaksa menutup perniagaan mereka sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), namun pada masa sama ia juga berhasrat untuk menghalang penularan wabak Covid-19.
“Kerajaan lihat perlu ada keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan keselamatan serta ekonomi untuk negara, individu serta syarikat. Oleh itu, Kabinet bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas bagi membincangkan keseimbangan kesihatan, keselamatan serta ekonomi.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama menteri kanan kluster keselamatan dan kluster ekonomi. Ia akan membincangkan hala tuju dan SOP baru bagi kita membantu pihak industri dan sebagainya.
“Namun keutamaan kita adalah keselamatan rakyat dan kesihatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ismail berkata, sejak PKP dilaksanakan dan pada ketika ini sudah memasuki fasa keduanya hingga 14 April depan, masih ramai anggota masyarakat yang berdegil dan enggan mematuhi arahan dikeluarkan.
Katanya, sehingga kini seramai 4,189 individu ditahan dan 1,449 sudah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengingkari perintah tersebut.
“Ada di antaranya sudah dijatuhkan hukuman. Hukuman bukan sahaja setakat denda, tetapi juga penjara. Ada kes hukuman penjara selama 8 bulan dikenakan. Ia bukan sahaja kesalahan ingkar PKP, tetapi turut melibatkan kesalahan lain seperti mengganggu pihak berkuasa menjalankan tugas,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sejak semalam dan kelmarin berlaku penurunan 3.6% dalam jumlah individu yang ditahan.
Pada semalam, 562 individu ditahan, berbanding 583 orang pada hari sebelumnya.
“Jika trend penurunan ini terus berlaku, maka ia adalah perkara baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan. Ia menunjukkan rakyat sudah mulai sedar tanggungjawab mereka untuk mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan. Polis perlu meneruskan tanggungjawab mereka untuk memastikan kepatuhan rakyat,” katanya.
Selain itu kata Ismail, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengenal pasti 348 kawasan di seluruh negara bagi melaksanakan Ops Sanitasi Awam, yang menyaksikan 93 kawasan dinyah cemar semalam dengan jumlah kawasan yang sudah dinyah cemar sejak 27 Mac sebanyak 252 kawasan.
“Hari ini sahaja, 46 kawasan di 8 buah negeri akan dinyah cemar. Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), SOP untuk sanitasi awam sudah dibangunkan supaya tempat awam bebas daripada wabak Covid-19.
“Sebenarnya kita terima banyak aduan mengenai cara nyah cemar, jadi KKM sudah bangunkan SOP. Nyah cemar ini akan diteruskan bukan sahaja di tempat awam, tetapi juga dari rumah ke-rumah,” katanya.
Pada masa sama, Ismail berkata, sehingga ke hari ini, Putrajaya masih belum membuat sebarang perbincangan sama ada untuk melanjutkan tempoh PKP selepas tempoh bagi fasa keduanya tamat pada 14 April depan.
“Ia belum diputuskan, tetapi kalau lihat laporan KKM, trend jumlah positif wabak Covid-19 ini tidak menaik tetapi masih mendatar. Kita doakan jika kepatuhan pada perintah ini diikuti dengan baik.
“Keputusan sama ada kita akan meneruskan PKP atau tidak diputuskan oleh KKM,” katanya.
Tambahnya, bermula 3 April, setiap rakyat yang pulang dari luar negara, tanpa mengira mana-mana pintu masuk, sama ada melalui udara, laut atau darat akan dihantar ke pusat kuarantin yang disediakan selama 14 hari.
“Ia adalah wajib bagi individu yang pulang dari luar negara. Mana-mana warga yang masuk ke dalam negara akan dikuarantin. Kita sediakan bas untuk angkut rakyat kita yang pulang dari luar negara dan akan dihantar ke pusat kuarantin disediakan.
“Akan ada pasukan petugas khas khusus yang akan menjaga kebajikan mereka semasa ditempatkan di tempat kuarantin. Segala SOP sudah dikeluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan