HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Julai 2020

Hina Jata Negara: Rakyat tolak permohonan maaf penerbit!

Siti Hafidah


Kenakan juga tindakan terhadap penulis kerana bersubahat

BANGI – Permohonan maaf penerbit buku yang menghina Jata Negara tidak akan diterima sehingga semua pihak yang terbabit dalam isu kontroversi itu dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pendakwaan perlu dilakukan segera dan hukuman yang setimpal mesti dikenakan bagi mengelak perkara ini dipandang ringan oleh pihak tertentu, terutamanya golongan subversif.

“Sebenarnya, bukan sahaja penerbit tetapi penulis harus dikenakan tindakan kerana bagi saya mereka juga turut bersubahat dalam perbuatan mempermainkan maruah negara. Jangan biarkan seorang pun terlepas, cari sampai ke lubang cacing sekalipun.

“Ini bukannya pertama kali penghinaan dan persendaan terhadap lambang negara. Jika tindakan yang tidak tegas diambil, pasti negara akan dilihat sebagai tiada kewibawaan dan lemah jati dirinya lebih-lebih lagi buku ini sudah dijual meluas di luar negara.

“Jangan sampai negara dijadikan bahan jenaka dan bahan ketawa hanya kerana kita tidak bertegas,” tegasnya menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi PEMBELA hairan mengapa buku itu dipromosikan kembali dengan begitu hebat di kedai buku utama seluruh negara secara tiba-tiba walaupun sudah diterbit tahun lalu.

Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik kejadian ini kerana khuatir jika perkara itu bukannya sesuatu yang tidak disengajakan tetapi dirancang dengan rapi untuk menghasut rakyat membenci sesama mereka secara halus.

“Tahniah kepada semua yang menyuarakan ketidakpuashatian sama ada melalui kuasa tular media sosial mahupun laporan-laporan polis. Anda semua hero negara!,” katanya.

Terdahulu, penerbit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia memohon maaf berhubung muka hadapan buku berkenaan yang mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang diubah suai.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu portal liberal, Malaysiakini kononnya tidak niat untuk menghina lambang negara.

Beliau mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal dari sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya di kulit buku itu diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.

Tiada ulasan: