HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Julai 2020

Petisyen kekal Speaker anjuran Bersih 2.0 hambar

Manzaidi Mohd Amin
MGF17072019_PARLIMEN_20-681x454
Dewan Rakyat akan bersidang 13 Julai ini dengan usul dikemukakan Perdana Menteri untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker. -Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Petisyen bagi mengekalkan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang dilancarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0) tidak mendapat sambutan.

Petisyen yang dipaparkan kepada umum sejak enam hari lalu hanya mengutip 12,083 tandatangan sehingga jam 3.30 petang ini, daripada 15,000 tandatangan yang disasarkan.

Pemerhatian MalaysiaGazette ke atas petisyen itu yang diterbitkan sejak Selasa itu mendapati kira-kira 2,000 tandatangan sehari sahaja terkumpul, suatu jumlah yang agak kurang memberangsangkan.

Mengikut kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 itu mengajak rakyat Malaysia menolak usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menukarkan Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan Nga Kor Ming pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat 13 Julai ini.

Menurut kenyataan itu, usul untuk menukar Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada pertengahan penggal tidak pernah terjadi, kerana jawatan itu biasanya kosong apabila Parlimen dibubarkan, adanya kematian atau peletakan jawatan.

“Dalam sistem Parlimen Westminster, Speaker perlu berada di atas politik partisan. Sekiranya Speaker itu seorang Ahli Parlimen, beliau perlu meletakkan jawatan dalam parti kerana sangat penting Speaker perlu dilihat sebagai pengelola Dewan yang adil.

“Sebaliknya di Malaysia, Speaker secara tradisinya dianggap pengawal pintu kepada eksekutif, menahan usul atau rang undang-undang oleh pembangkang atau, bahkan mengehadkan ucapan, yang menghakis keadilan jawatan tersebut.

“Speaker yang bukan merupakan Ahli Parlimen dan telah meletak jawatan dari parti politik sejak pelantikannya bermula pada sidang Parlimen ke-14 pada tahun 2018, telah mentransformasikan jawatannya dengan saksama dan benar-benar menghargai semangat kepelbagaian parti,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0.

Jawatankuasa itu menggesa semua Ahli Parlimen menyokong Mohamad Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinannya selama 27 bulan ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: