KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) tidak menolak sebarang kemungkinan jika Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kemnya hendak sertai parti, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.
Ujarnya,
PAS dan Umno bersedia untuk menerima mana-mana parti politik asalkan
bertunjangkan perjuangan kepada kesejahteraan rakyat dan negara.
“Sebarang perkara yang berlaku tidak mustahil tapi kita melihat
kepada asas perjuangan kita untuk menyelamatkan negara, menyelamatkan
rakyat yang sedang hadapi satu krisis yang di luar jangkaan.
“Tapi
atas asas menyelamatkan rakyat dan negaranya, tidak mustahil di atas
perbezaan ini boleh meraikan perbezaan dan juga kita boleh menerima satu
dasar yang membela rakyat dan negara terutama dalam pembangunan
ekonomi, agama dan sebagainya,” jelasnya.
Awang berkata demikian
dalam program Bicara Harakah yang disiarkan secara langsung malam tadi
menerusi Facebook Harakah TV membincangkan topik ‘Bubarkah Parlimen
selepas Julai 2020?’.

Pandangan Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang disambut baik oleh Ahmad Maslan yang berpendapat MN sendiri telah menetapkan kriteria dan juga syarat-syarat yang ketat kepada permohonan ahli baharu.
Ujarnya, keputusan untuk menerima atau tidak Presiden PKR itu bersama konco-konconya haruslah secara total melalui rundingan dan perbincangan oleh pucuk pimpinan terlebih dahulu sebelum keputusan dilakukan.
“Politik serba kemungkinan, kita serah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan, yang penting tidak ada parti DAP di dalam rakan kita ini.
“Dalam pada masa yang sama kita juga tidak mahu orang yang berfikiran liberal, adakah Anwar adalah seorang yang berfikiran liberal? Itu masing-masing boleh membuat jawapan-jawapan yang tertentu.
“Adakah Anwar seorang yang didapati bersalah oleh mahkamah sedemikian rupa boleh diterima oleh orang ramai? Itu pun kita boleh fikir dalam diri kita masing-masing.
“Tetapi persoalan yang besar begini tentunya akan diserahkan kepada mesyuarat besar Muafakat Nasional, presiden ada di situ Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kita kena bermuzakarah dan berfikir betul-betul bab Anwar ini.
“Tapi yang bab DAP tak perlu rujuk, itu jawapannya memang pasti kita tidak akan terima,” tegasnya.
Tuntasnya, fokus kerajaan hanyalah demi kepentingan rakyat dan negara semata-mata dan tiada helah yang tersembunyi di sebalik pucuk pimpinan yang sedia ada.
Malah, Muafakat Nasional sangat mengalu-alukan ahli baharu yang mampu membawa kesejahteraan rakyat dan negara dengan berlandaskan kayu ukur serta dasar yang serupa. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan:
Catat Ulasan