
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak meminta Tun Dr Mahathir Mohamad supaya bersikap jujur dan tidak asyik mempersalahkannya atas peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Menurut Najib, Mahathir tidak perlu kelentong lagi kenapa beliau melepaskan jawatannya kerana surat letak jawatan dihantar pada pukul 1 petang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) umum keluar Pakatan Harapan (PH) jam 2 petang.
Ketika itu, Mahathir tidak pernah pun memaklumkan akan melepaskan jawatan kepada kawan-kawan dalam PH atau Warisan beliau akan letak jawatan dan sebab kenapa mahu letak jawatan.
Kata Najib lagi, selepas Ahli Parlimen Langkawi itu meletak jawatan, beliau tidak pernah marah pada Bersatu atau Muhyiddin, mahu pun sesiapa sehingga malam 29 Februari lalu.
”Malah keesokan hari selepas dia letak jawatan, dia tak hirau permintaan PH untuk meeting bagaimana nak pulihkan kerajaan PH.
”Hanya selepas YDP Agong umum dia bukan PM 8, baru dia mula marah dan tuduh-menuduh,” kata Najib.
Menurut Najib, Mahathir melepaskan jawatannya kerana tiga sebab iaitu tidak mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, tidak mahu dikawal DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) lagi dan bimbang Bersatu dan PH akan kalah teruk pada PRU15.
”Mereka amat bimbang selepas kalah lima kali PRK berturut-turut kepada BN/MN termasuk kekalahan paling teruk di kawasan Parlimen sendiri di mana calon orang Melayu parti PPBM kalah teruk kepada calon orang Cina BN/MN di kawasan majoriti Melayu dalam negeri yang Menteri Besar ialah dari PPBM dan Perdana Menteri ialah dari PPBM.
”Sebab itu, PM 7 sangat inginkan menjadi PM untuk sebuah kerajaan perpaduan (unity government) di mana dia boleh pilih sendiri mana-mana ahli Parlimen dia suka tanpa perlu mengikut kehendak parti,” tambahnya.
Jelas Najib, dengan kerajaan perpaduan baru ini, Mahathir tidak perlu serah jawatan kepada Anwar dan beliau tak perlu dikawal parti DAP dan PKR lagi.
Malah, beliau juga tidak perlu bimbang kalah kepada BN/MN sebab BN/MN juga sebahagian kerajaannya.
”Ketiga-tiga masalah dia diselesaikan sekaligus jika dia berjaya bentuk kerajaan perpaduan idamannya. Namun dia gagal kerana BN, PAS dan GPS tolak untuk bersama dengan orang DAP.
”Mengaku sahajalah rancangan sebenar kamu. Jujur sikit, boleh? Buat apa asyik salahkan saya?” soal Najib. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan