KUALA – UMNO tidak menghalang ahlinya yang pernah keluar parti kembali semula ke pangkuan parti itu.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, namun mereka perlu melalui proses yang telah ditetapkan sebelum diputuskan oleh Majlis Tertinggi untuk menyertai semula UMNO.
“Kita memang ada menerima permohonan daripada Datuk Seri Salleh Said Keruak dan beberapa orang pemimpin dari Sabah.
“Oleh kerana mereka dahulu keluar mereka terpaksa membuat permohonan baru kerana Majlis Tertinggi telah membuat keputusan tertentu, kaedah-kaedah bagi mereka-mereka yang ingin kembali semula kepada UMNO.
“Tetapi secara dasar sesiapa sahaja boleh balik untuk menjadi ahli, tidak ada masalah cuma proses tertentu ada di mana perakuan daripada UMNO negeri akan diangkat untuk kelulusan Majlis Tertinggi,” katanya kepada pemberita ketika melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah hari ini.
Menurut Annuar, sesiapa pun yang mahu bersama semula dengan UMNO tidak wajar dihalang, sebaliknya mereka perlu diterima dengan hati terbuka.
“Parti politik milik orang ramai. Terima dengan hati terbuka bak kata orang tua, kecil tapak tangam nyiru kita tadahkan,” ujarnya.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Salleh yang juga merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia telah menghantar permohonan untuk menyertai semula parti itu pada 26 Jun lalu.
Keputusan Salleh itu membatalkan permohonan untuk menyertai PKR pada April lalu.
Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu selepas bersama sebilangan besar pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan