HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Disember 2020

Ismail Sabri jangan 'lawan' Ahmad Zahid dalam isu TPM

Wan Syamsul Amly
Ismail Sabri jangan 'lawan' Ahmad Zahid dalam isu TPM
Permintaan Ismail Sabri juga seolah-olah satu desakan kepada kerajaan PN untuk 
diserahkan jawatan itu kepada salah seorang pemimpin tertinggi UMNO dalam kadar 
segera. - Gambar Astro AWANI
 
ISU jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang kosong sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara awal tahun ini sudah banyak kali dibincangkan.
 
Pelbagai perspektif diberi penganalisis politik, perundangan selain masyarakat di kedai kopi yang melihat keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengosongkan kerusi nombor dua itu dengan pelbagai hujah.
 
Tidak dinafikan ada yang boleh masuk akal dan ada juga yang menjadi bahan jenaka buang masa oleh sesetengah kumpulan WhatsApp.
 
Ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini pernah mengadakan pertemuan di Menara Dato Onn untuk Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
 
Mesyuarat berkenaan dikatakan membincangkan secara terperinci mengenai calon yang paling sesuai untuk dicadangkan menjadi TPM.
 
Pada masa itu, sumber memaklumkan bahawa antara tiga nama yang dicadangkan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Menteri Kanan Pertahanan, dilihat memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan nombor dua dalam Kabinet itu.
 
Nama lain yang disebut-sebut ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahmad Zahid sendiri.
 
Timbul Semula
 
Isu yang panas pada akhir Oktober itu seolah-olah timbul semula minggu ini.
 
Ia dilihat kembali hangat selepas Belanjawan 2021 berjaya diluluskan di Parlimen, baru-baru ini.
 
Kenyataan tersebut semakin kuat diperkatakan apabila Ismail mengakui akan membangkitkan semula kedudukan jawatan TPM kepada Muhyiddin sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 selesai di Dewan Rakyat.
 
Ismail Sabri juga berkata, isu jawatan TPM tidak pernah didiamkan kerana parti berkenaan merupakan pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini.
 
Permintaan Ahli Parlimen Bera itu juga seolah-olah satu desakan kepada kerajaan PN untuk diserahkan jawatan itu kepada salah seorang pemimpin tertinggi UMNO dalam kadar segera.
 
Walaupun Ismail Sabri jelas memberitahu, jawatan TPM telah dipersetujui parti mengikut hierarki dengan mengutamakan lima pemimpin teratas bermula Presiden, Timbalan Presiden dan selain tiga Naib Presiden yang lain, mungkin muslihatnya tetap ada.
 
Bagaimana tidak, Presiden UMNO diketahui umum berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
 
Ia sekali gus seolah-olah menjadi bayangan penghalang untuk Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk menjawat jawatan TPM.
 
Sementara Mohamad pula mungkin masih dikatakan 'mentah' untuk mengemudi kerusi TPM kerana masih belum berpengalaman dalam pelbagai isu di peringkat negara.
 
Sedar atau tidak, tumpuan akan diberi kepada Ismail sebagai calon yang mungkin layak dan dinaikkan ke jawatan berkenaan.
 
Suara Ismail Sabri dalam isu TPM ini boleh ditakrifkan langkah peribadi yang sekali gus di luar pengetahuan Ahmad Zahid sendiri.
 
Ia sekali gus pandangan yang melangkaui Presiden UMNO yang selama ini sudah mengajar ahli-ahli tentang istilah wala' dan berdiri teguh di belakang pemimpin nombor satu parti.
 
Jelas, tindakan itu boleh ditakrifkan satu seruan Ismail untuk perdana menteri memilihnya yang saban hari menjadi jurucakap kerajaan di kaca televisyen dalam isu tangkapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
 Meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri akan memperlihatkan sifat tamak dan gelojoh UMNO untuk berebut kerusi tertinggi dalam kerajaan selepas Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin teguh di bawah pimpinan Muhyiddin.
 
Meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri akan memperlihatkan sifat tamak dan gelojoh UMNO untuk berebut kerusi tertinggi dalam kerajaan selepas Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin teguh di bawah pimpinan Muhyiddin.
 
Jangan Desak
 
Ahmad Zahid sendiri sebenarnya sudah menegur dan meminta pemimpin serta anggota UMNO tidak mendesak Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.
 
Beliau juga sudah mengingatkan semua, kuasa pelantikan TPM, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.
 
Jadi persoalannya bagaimana desakan Ismail itu boleh dikeluarkan sedangkan Ahmad Zahid sudah jelas memberi amaran, spekulasi, tafsiran atau sebarang analisis mengenai jawatan timbalan perdana menteri tidak harus dibincangkan secara umum walaupun memang diakui ada dibincangkan dalam mesyuarat parti.
 
Pastinya, meminta jawatan TPM akan memperlihatkan sifat tamak dan gelojoh UMNO untuk berebut kerusi tertinggi dalam kerajaan selepas Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini semakin teguh di bawah pimpinan Muhyiddin.
 
Pertemuan Muhyiddin dengan Ahmad Zahid baru-baru ini juga pasti menjadi asas keakraban dua parti Melayu dan merungkai segala persoalan termasuk jawatan TPM yang mungkin perlu diselesaikan oleh kedua-dua Presiden itu.
 
Memetik pandangan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek yang mendakwa jawatan TPM tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, malah kekosongan ‘kerusi’ itu bukan penghalang untuk badan eksekutif menjalankan peranan masing-masing khususnya dalam mendepani rangkaian cabaran ekonomi semasa, ia mungkin topik yang harus disenyapkan Ismail.
 
Lebih baik Ismail berfikir jalan untuk UMNO kembali hebat dan mengkaji strategi terbaik untuk parti Melayu keramat itu menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
 
Sebarang kesilapan langkah akan menjadikan Bersatu terus kukuh dan menjadi pilihan di hati rakyat selain lebih buruk menguburkan terus UMNO yang sudah sedia nazak selepas PRU14 lepas.

* Wan Syamsul Amly ialah wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

Tiada ulasan: