HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Disember 2020

Parlimen kecoh salah kira undian

Yusmizal Dolah Aling

DATUK Rashid Hasnon. FOTO ihsan Parlimen

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan mengenai kesilapan jumlah undian belah bahagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon berkata, perkara itu dimaklumkan Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kesilapan yang dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shabudin Yahaya ketika menjadi penghitung kira, semalam.

Menurutnya, undi Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) dikira walaupun tidak berada di dalam dewan.

Dengan pemakluman itu, ia bermakna jumlah undian belah bahagi adalah 106 menyokong manakala 95 tidak menyokong dan 19 tidak hadir.

Ia mengundang kekecohan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang meminta penjelasan daripada Shabudin sendiri.

RSN Rayer (Dap- Jelutong) meminta undian belah bahagi dijalankan semula kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

Turut mencelah kerana tidak berpuas hati ialah Datuk Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) dan Hanipa Maidin (Amanah-Sepang).

Shabudin kemudian memberikan penjelasan bahawa beliau melihat Mohamed Nazri berada di dalam dewan beberapa minit sebelum itu menyebabkan undinya dikira.

"Sebab itu saya mengambil tanggungjawab untuk memaklumkan kepada Speaker," katanya.

Rashid kemudian meminta Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati untuk menulis surat kepada Speaker mengikut Peraturan 43.

Perbahasan bagaimanapun disambung di peringkat jawatankuasa hari ini.

Tiada ulasan: