KUALA LUMPUR : Menteri Besar sedia ada boleh dibenar terus mentadbir, biarpun dengan sokongan tidak mencukupi jika tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendapat kepercayaan majoriti.
Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata kaedah itu boleh dibuat sebagai usaha mengelak diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika COVID-19.
"Situasi ini dianggap sebagai 'minority government' atau kerajaan minoriti. Kerajaan dibentuk ini bersifat sementara melainkan jika beliau berjaya mengumpulkan semula sokongan," katanya dalam satu kenyataan hari ini, mengulas isu kemelut politik terbaharu di Perak.
Beliau berkata, parti kerajaan juga boleh mengadakan rundingan baharu dan kembali bergabung bagi memberikan sokongan kepada Menteri Besar baharu yang memiliki sokongan majoriti.
"(Jika) tiada siapa yang layak mendapat sokongan majoriti sehingga memberi kesan kepada kelancaran kerajaan termasuklah untuk meluluskan belanjawan, maka DUN terpaksa dibubarkan dan PRN terpaksa diadakan," katanya.
Muhammad Fathi berkata, bagi mengelakkan PRN waktu pandemik ini, kerajaan Persekutuan melalui Yang Dipertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di Perak dan melantik mana-mana tokoh untuk memimpin negeri itu dalam tempoh berkenaan.
"Dalam situasi ini, parti-parti yang mempunyai anggota dalam DUN perlu cepat bertindak.
"Mana-mana pihak yang mampu mencukupkan jumlah sokongan melebihi majoriti, maka layak untuk mentadbir kerajaan negeri.
"Mereka perlu tentukan tokoh yang ingin dijadikan Menteri Besar, dan tokoh itu mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 orang ADUN daripada jumlah keseluruhan 59 kerusi," katanya.
Katanya, memandangkan perbezaan kerusi gabungan kerajaan dan pembangkang sedikit, parti pembangkang berpeluang menubuhkan kerajaan baharu jika mereka berjaya mendapatkan sokongan tambahan daripada ADUN Bebas atau kerajaan.
Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, usul undi percaya agak ganjil dan sepatutnya kerajaan tidak perlu membuktikan seseorang Menteri Besar mendapat sokongan, sebab bukti sokongan hanya diperlukan ketika beliau dilantik oleh sultan.
"Bahkan usul undi percaya bukan saja tidak perlu, bahkan ia ibarat jerat yang boleh merugikan kerajaan.
"Ia mungkin berguna sebagai senjata untuk pembangkang yang berhasrat menguji keutuhan kerjasama parti-parti kerajaan. Jadi bila ia digunakan oleh parti kerajaan, ia ibarat senjata makan tuan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan