HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Disember 2020

Ku Li enggan sertai undian belanjawan selagi keabsahan kerajaan tak diuji


Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah terus mempersoalkan keabsahan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Tengku Razaleigh, juga dikenali sebagai Ku Li, adalah salah seorang daripada lima ahli parlimen kerajaan yang tidak hadir dalam dua undi belah bahagi mengenai peruntukan Belanjawan 2021 untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan hari ini.

Peruntukan itu diluluskan selepas mendapat undi menyokong yang lebih banyak berbanding undi tidak bersetuju.

Ketika dihubungi, pembantu Tengku Razaleigh berkata bahawa ahli politik veteran itu menghadiri sidang hari ini tetapi pulang sebelum jam 2 petang ketika undi belah bahagi pertama dijalankan.

"Kita balik sebelum tu... Tengku Razaleigh dah kata dia tak akan turut serta dalam perbincangan belanjawan selagi dia tidak iktiraf keabsahan (kerajaan)," kata pembantu itu.

Dia menambah bahawa Ku Li itu akan terus tidak terlibat dalam undian selagi sokongan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Dewan tidak ditentukan melalui usul tidak percaya.

Untuk rekod, untuk hari-hari mendatang akan menyaksikan 25 pusingan pengundian lagi sebelum belanjawan dapat diluluskan secara keseluruhan.

Tengku Razaleigh sebelumnya menghantar surat - yang kini sudah didedah kepada umum - untuk memberitahu Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengenai rancangannya untuk tidak terlibat dalam perbahasan belanjawan selagi majoriti kerajaan PN masih belum diuji.

Dia juga berpendapat Azhar telah melanggar kebebasa parlimen yang dilindungi perlembagaan dengan menyarankan agar dia meminta persetujuan kerajaan untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Menjelang pengundian peringkat dasar Belanjawan 2021 sebelum ini, Ku Li telah mengedarkan suratnya kepada anggota parlimen lain di Dewan Rakyat tetapi tidak hadir semasa pengundian 26 November.

Tengku Razaleigh, yang mempengerusikan majlis penasihat Umno, bukan satu-satunya ahli parlimen Umno yang tidak hadir pada kedua-dua pusingan pengundian belah bahagi hari ini.

Menariknya, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) dan Najib Abdul Razak (BN-Pekan) juga tidak hadir.

Dua lagi tidak hadir dari bangku kerajaan ialah Richard Riot (GPS-Serian) dan Willie Mongin (PN-Puncak Borneo).

Tiada ulasan: